Laman Utama » Panduan Perdagangan Emas
Ditulis oleh Richard Perry
Richard Perry ialah seorang pakar yang diiktiraf dalam analisis teknikal dan strategi pasaran, dengan pengalaman yang luas dalam pasaran mata wang dan ekuiti. Beliau telah menubuhkan firma sendiri bernama Perry Market Analysis yang menyediakan perkhidmatan perundingan dan analisis bagi pasaran utama, termasuk penyelidikan melalui webinar, video dan analisis bertulis.
, | Diterjemahkan oleh Shakirah Manijal
Shakirah Manijal merupakan pakar kandungan yang berpengalaman dalam penterjemahan dan penyuntingan Bahasa Melayu, khususnya bagi ulasan broker dan kandungan berkaitan perdagangan.
, | Dikemas Kini:

Emas telah memainkan peranan penting dalam hubungan komersial manusia sejak kebangkitan tamadun purba di Timur Tengah lebih 3,000 tahun yang lalu, dan ini menjadikannya bentuk wang tertua yang diiktiraf pada masa ini. Emas secara amnya dianggap sebagai aset “tempat selamat” yang utama, kerana ia mempunyai rekod yang lama sebagai “penyimpan nilai” semasa konflik perang, bencana alam serta semasa kebangkitan dan kejatuhan ekonomi dan budaya beberapa empayar besar.

Sama ada dalam bentuk fizikal sebagai perhiasan, atau dalam portfolio di firma broker, nilai emas sentiasa berubah, kadangkala perubahan yang besar. Nilai yang turun naik ini dimanfaatkan oleh sesetengah pelabur untuk memperoleh keuntungan dengan sekadar membuat spekulasi terhadap pergerakan harga logam berharga ini, manakala pemain pasaran lain mungkin membeli emas sebagai “lindung nilai”. Maksudnya, jika portfolio mereka kebanyakannya terdiri daripada saham dan berlaku kekacauan dalam pasaran saham, pegangan emas mereka boleh menampung kerugian tersebut apabila nilai logam meningkat.

Walaupun emas telah mengekalkan nilainya selama berabad-abad, minat pelabur terhadap komoditi ini juga mengalami turun naik. Sebagai contoh, antara awal tahun 1980-an dan awal tahun 2000-an, minat untuk melabur dalam logam tempat selamat ini adalah rendah disebabkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan pasaran saham yang menaik. Dalam tempoh itu, harga emas berlegar antara $300 dan $500 setiap auns.

harga emas

Minat pelabur terhadap logam ini meningkat secara perlahan sepanjang tahun 2000-an dan melonjak pada tahun 2008 semasa Krisis Kewangan Global. Harga emas mula mencapai paras tertinggi sedikit melebihi $1,900 setiap auns pada akhir tahun 2011 dan kemudian merekodkan paras tertinggi $2,074.88 pada Ogos 2020.

Pada 24 April 2024, harga emas telah mencapai paras baharu, dianggarkan sekitar $3,330 setiap auns.

Dalam panduan ini, kami akan membincangkan faktor-faktor utama yang mempengaruhi penilaian emas, cara paling popular untuk berdagang komoditi ini dan juga menawarkan beberapa strategi perdagangan emas.

Emas boleh dikatakan antara aset kewangan yang paling sukar untuk dinilai. Di satu sisi, emas berkongsi persamaan tertentu dengan mata wang tradisional seperti Dolar AS, paun British dan lain-lain, kerana sifatnya yang tahan lama, mudah dibawa, seragam di seluruh dunia dan diterima secara meluas. Namun, berbeza dengan mata wang tradisional, emas tidak disokong oleh ekonomi asas yang terdiri daripada pengguna, perniagaan dan infrastruktur.

Di sisi lain, emas berkongsi persamaan dengan komoditi lain seperti minyak atau gandum kerana ia digali dari bumi dan diseragamkan dari segi ciri fizikal. Namun, berbeza dengan komoditi lain, nilai emas kerap mengalami turun naik tanpa kaitan langsung dengan bekalan dan permintaan industri. Hakikatnya, hanya kira-kira 10% daripada emas di seluruh dunia digunakan dalam industri seperti elektronik yang kebanyakannya disebabkan oleh keupayaan pengalirannya dan sifat antikarat. Baki emas global pula digunakan sama ada dalam perniagaan perhiasan atau disimpan untuk tujuan pelaburan.

Emas sebagai “lindung nilai”

Ramai pelabur cenderung memberi tumpuan kepada emas kerana peranan tradisionalnya sebagai “lindung nilai”. Ini bermaksud posisi dalam emas dijangka dapat mengimbangi sebarang kerugian yang mungkin berlaku dalam kelas aset lain yang membentuk portfolio pelabur. Ini disebabkan oleh harga emas yang berkorelasi songsang dengan harga beberapa kelas aset lain. Apabila nilai aset-aset tersebut susut, nilai emas biasanya akan meningkat dan begitu juga sebaliknya.

Salah satu kelas aset yang mempunyai korelasi negatif dengan emas termasuk mata wang fiat seperti Dolar AS. Kami akan bincangkan hubungan itu dengan lebih terperinci dalam bahagian seterusnya dalam panduan ini.

Emas sebagai “lindung nilai”

Emas juga boleh digunakan sebagai lindung nilai terhadap inflasi. Bank pusat berupaya untuk meningkatkan bekalan wang untuk menyokong ekonomi apabila bantuan sedemikian diperlukan. Oleh kerana jumlah emas yang tersedia adalah terhad, jika bekalan wang ditingkatkan beberapa kali, harga emas juga dijangka meningkat.

Dan jangan lupa bahawa satu kumpulan pedagang mungkin menggunakan emas semata-mata untuk tujuan spekulatif. Mereka akan berdagang komoditi itu mengikut jangkaan mereka tentang arah pasaran. Apabila harga emas hampir berganda semasa Krisis Kewangan Global pada akhir tahun 2010-an, lonjakan itu bukan sahaja dipacu oleh lindung nilai pelabur terhadap emas, tetapi juga oleh pedagang yang mengesan trend dan cuba masuk ke pasaran lebih awal untuk meraih keuntungan pada peringkat seterusnya daripada sentimen penghindaran risiko yang meluas.

Apakah maksud rizab Emas?

Jumlah emas fizikal yang dimiliki oleh sesebuah kerajaan atau bank pusat negara untuk menyokong nilai mata wang domestik dikenali sebagai rizab emas negara tersebut. Semasa era piawaian emas, rizab emas negara digunakan untuk menebus komitmen pembayaran kepada pemegang nota, pemegang deposit atau rakan dagang. Rizab emas merangkumi sebahagian daripada rizab Pertukaran Asing sesebuah negara (bertujuan untuk mengimbangi pembayaran, mempengaruhi kadar pertukaran mata wangnya dan mengekalkan keyakinan dalam pasaran kewangan tempatan).

Data dari World Gold Council menunjukkan bank pusat di seluruh dunia memperoleh 333 tan emas pada suku keempat, membawa jumlah tahunan bersih bagi 2024 kepada 1,045 tan.

Sekarang, mari kita lihat 10 negara yang mempunyai rizab emas terbesar di seluruh dunia. Oleh kerana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bukan sebuah negara, ia tidak disertakan dalam jadual di bawah.

Sejak tahun 2011, pegangan emas Tabung Kewangan Antarabangsa kekal pada 2,815 tan, jumlah ini meletakkannya di tempat ketiga jika dimasukkan dalam senarai.

NegaraRizab Emas dalam Tan% daripada Rizab Pertukaran Asing
Amerika Syarikat8133.574.97%
Jerman3351.5374.39%
Itali2451.870.79%
Perancis2436.9772.27%
Persekutuan Rusia2335.929.47%
China2279.65.53%
Switzerland1,039.949.59%
Jepun845.975.77%
India876.1811.35%
Belanda612.564.93%

Sumber: World Gold Council: Gold Reserves by Country (Q4 2024)

Walaupun tidak berada dalam senarai negara dengan rizab emas terbesar di dunia, Bank Negara Poland membeli jumlah emas tertinggi pada tahun 2024, iaitu sebanyak 90 tan dan menjadikan jumlah keseluruhan rizab emasnya untuk tahun 2024 meningkat kepada 448.23 tan.

Emas, kadar faedah dan Dolar AS

Sejarah menunjukkan salah satu faktor utama yang menentukan harga emas ialah paras kadar faedah sebenar, atau kadar faedah tanpa mengambil kira kadar inflasi. Dalam tempoh kadar faedah sebenar yang tinggi, alternatif pelaburan seperti tunai atau bon kerajaan cenderung menawarkan pulangan yang memuaskan.

Namun, dalam tempoh kadar faedah sebenar yang rendah, alternatif pelaburan seperti tunai atau bon kerajaan cenderung menawarkan pulangan yang rendah ataupun negatif. Akibatnya, pelabur terdorong untuk mencari cara lain untuk mengekalkan kekayaan mereka. Dan emas selalunya akan menjadi pilihan mereka.

Pada waktu hasil bon kerajaan AS menurun (sama ada kerana jangkaan inflasi merosot, atau data makroekonomi menunjukkan prospek yang suram), harga emas cenderung untuk naik. Oleh kerana logam berharga ini tidak memberikan faedah, kadar faedah dan hasil bon yang lebih rendah biasanya mengurangkan kos peluang bagi pelabur untuk memegang komoditi itu. Hampir setiap kali apabila terdapat penurunan ketara dalam hasil bon global (kadang-kadang ke paras jauh di bawah sifar), pelabur membeli emas sebagai usaha untuk melindung nilai daripada persekitaran pulangan yang menurun.

Sebaliknya, jika hasil bon global meningkat disebabkan peningkatan dalam keadaan makroekonomi, politik atau kesihatan, kos peluang memegang emas juga meningkat dan ini mengurangkan daya tarikannya kepada pelabur.

Emas dan Dolar AS

Satu lagi hubungan utama yang perlu kami nyatakan ialah antara emas dan Dolar Amerika Syarikat. Pada masa Dolar AS dijual (terutamanya berbanding mata wang seperti yuan China atau yen Jepun), harga emas cenderung meningkat disebabkan minat beli yang meningkat. Ini kerana Dolar AS yang lebih murah menjadikan emas lebih menarik kepada pelabur antarabangsa yang memegang mata wang lain kerana kuasa pembelian yang lebih tinggi. Sebaliknya, Dolar AS yang lebih kukuh mengurangkan daya tarikan emas bagi mereka yang memegang mata wang lain.

Penting untuk diberi perhatian bahawa majoriti broker dalam talian kini menawarkan Kontrak untuk Perbezaan (CFD) Emas untuk didagangkan yang biasanya didenominasikan dalam Dolar AS, Euro, Pound British, Yen Jepun dan sebagainya. Broker-broker tersebut hanya menukarkan harga emas berasaskan USD kepada EUR, GBP atau JPY secara masa nyata dengan menggunakan kadar pertukaran spot semasa EUR/USD, GBP/USD atau USD/JPY.

Jika anda membeli CFD emas dalam mata wang yang paling lemah, atau menjual CFD emas dalam mata wang yang paling kukuh, anda sebenarnya boleh memperoleh keuntungan maksimum dari setiap perdagangan komoditi itu. Contohnya, jika anda yakin Euro akan mengalami susut nilai berbanding mata wang utama lain dalam minggu akan datang, anda mungkin lebih memilih untuk membeli emas dalam Euro (untuk berdagang XAU/EUR) daripada membelinya dalam Dolar AS (untuk berdagang XAU/USD). Akibatnya, jika kadar pertukaran EUR/USD susut dan harga emas naik pada minggu akan datang, anda akan menjana pulangan yang lebih besar (dalam %) apabila berdagang XAU/EUR berbanding berdagang XAU/USD.

Bagaimana anda boleh berdagang Emas?

Sebagai pedagang, anda mempunyai beberapa pilihan untuk membuat spekulasi terhadap harga emas. Ini termasuk berdagang saham emas, ETF emas, niaga hadapan emas, opsyen emas, CFD emas serta emas fizikal (jongkong atau syiling).

Pilihan 1: Berdagang Saham Emas

Memiliki portfolio saham yang bergerak seiring dengan harga emas adalah satu cara untuk memanfaatkan pergerakan pasaran emas. Saham-saham ini biasanya milik syarikat perlombongan dan penerokaan emas. Walaupun deposit emas milik syarikat-syarikat tersebut mungkin belum dilombong, jika harga emas berubah, harga saham syarikat itu juga akan berubah.

Walau bagaimanapun, korelasi antara harga saham berkaitan emas dan harga komoditi itu sendiri boleh berbeza. Ini kerana saham juga boleh dipengaruhi oleh faktor pendorong harga lain seperti turun naik pasaran saham yang lebih luas.

Beberapa saham syarikat peneroka dan perlombongan emas terkemuka yang boleh anda pertimbangkan termasuk:

Saham EmasMaklumatDitubuhkan padaTersenarai di
Barrick GoldSyarikat perlombongan emas terbesar di dunia yang berpangkalan di Toronto. Asalnya ia ditubuhkan sebagai sebuah syarikat minyak dan gas.1983Bursa Saham New York, Bursa Saham Toronto, dan Bursa Saham London
Newmont MiningSyarikat perlombongan emas yang mempunyai ibu pejabat di Colorado, AS. Ia merupakan satu-satunya syarikat emas yang tersenarai dalam Indeks S&P 500.1916Bursa Saham New York
Newcrest MiningSalah satu syarikat perlombongan emas terkemuka di Australia. Pada asalnya, ia adalah subsidiari Newmont Mining Co.1966Bursa Saham Australia di Sydney
AngloGold AshantiPerlombong dan peneroka emas yang mempunyai ibu pejabat di Johannesburg. Syarikat ini mengendalikan 17 lombong yang terletak di 9 negara.2004Bursa Saham Johannesburg, Bursa Saham New York, Bursa Saham Australia, Bursa Saham London, Euronext Paris, Bursa Saham Ghana
Polyus GoldSyarikat perlombongan emas yang berpangkalan di Moscow. Polyus Gold sebenarnya adalah pelombong emas terbesar di Persekutuan Rusia.2006Bursa Saham London dan Bursa Saham Moscow

Pilihan 2: Berdagang ETF Emas

Dana yang diniagakan di bursa (ETF) mewakili satu bakul sekuriti (saham syarikat) yang boleh diniagakan di bursa saham. Dalam sesebuah ETF, bilangan saham bagi setiap syarikat biasanya berbeza-beza, bergantung pada saham tersedia bagi semua syarikat yang disertakan.

ETF menawarkan peluang yang baik untuk memegang posisi dalam emas kerana anda tidak perlu membayar yuran untuk kemudahan peti simpanan atau terdedah kepada risiko berkaitan penyimpanan emas fizikal di rumah. Selain itu, harga ETF secara masa nyata membolehkan anda menjejak nilai pegangan anda dengan mudah.

Lima ETF emas terbesar dari segi jumlah aset di bawah pengurusan termasuk:

  • SPDR Gold Trust
  • iShares Gold Trust
  • SPDR Gold MiniShares Trust
  • ETFS Physical Swiss Gold Shares
  • GraniteShares Gold Trust.

Pilihan 3: Niaga Hadapan Emas

Niaga hadapan emas ialah instrumen derivatif yang membolehkan pedagang membuat spekulasi terhadap pergerakan harga masa depan komoditi dengan membeli kontrak yang diniagakan di bursa. Kontrak sedemikian biasanya diniagakan di bursa seperti Chicago Mercantile Exchange (CME), Tokyo Commodity Exchange, atau London Metal Exchange (LME).

Apabila anda membeli kontrak niaga hadapan emas, anda mempunyai pilihan untuk menerima tarikh penghantaran yang dipersetujui atau melakukan “rollover” – iaitu melanjutkan kontrak kepada tarikh penghantaran yang lebih lewat.

Sekarang mari kita lihat spesifikasi kontrak bagi NGold Futures, E-Mini Gold Futures dan Micro Gold Futures yang semuanya didagangkan di bahagian COMEX Chicago Mercantile Exchange.

Gold FuturesE-Mini Gold FuturesMicro Gold Futures
Unit Kontrak100 auns troy50 auns troy10 auns troy
Sebut Harga dalamDolar AS dan Sen setiap auns troyDolar AS dan Sen setiap auns troyDolar AS dan Sen setiap auns troy
Turun Naik Harga Minimum$0.10 setiap auns troy$0.25 setiap auns troy$0.10 setiap auns troy
Kontrak TersenaraiPenghantaran biasanya pada bulan kalendar semasa; dua bulan kalendar berikutnya; mana-mana Februari, April, Ogos dan Oktober dalam 23 bulanPenghantaran biasanya pada mana-mana Februari, April, Jun, Ogos, Oktober dan Disember dalam 24 bulan yang mana kontrak Niaga Hadapan Emas 100 Auns Troy tersenaraiKontrak bulan ke bulan tersenarai untuk mana-mana Februari, April, Jun, Ogos, Oktober dan Disember dalam 24 bulan terdekat
Kaedah PenyelesaianBoleh DihantarPenyelesaian KewanganBoleh Dihantar

Pilihan 4: Opsyen Emas

Kontrak opsyen emas adalah satu perjanjian antara dua pihak untuk melaksanakan transaksi berpotensi pada jumlah emas tertentu. Kontrak opsyen emas adalah instrumen derivatif yang aset asasnya sama ada emas fizikal atau niaga hadapan emas fizikal. Setiap kontrak opsyen mempunyai butiran seperti kuantiti, tarikh penghantaran dan harga pelaksanaan (strike price) yang telah ditetapkan. Kontrak-kontrak ini diniagakan di bursa derivatif di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat contohnya, opsyen emas tersenarai di bursa COMEX.

Terdapat dua jenis utama opsyen emas – opsyen panggilan/beli (call) dan opsyen jual (put). Opsyen panggilan/beli emas memberi pemiliknya hak, tetapi bukan kewajiban untuk membeli sejumlah tertentu komoditi pada harga yang telah ditetapkan (harga strike) sehingga opsyen itu luput. Opsyen panggilan emas biasanya lebih bernilai apabila logam berharga berada dalam trend menaik kerana pemiliknya telah mengunci pembelian pada harga yang lebih rendah. Pembeli opsyen panggilan emas mempunyai hak, tetapi bukan kewajiban, untuk membeli kuantiti emas tertentu. Penjual opsyen panggilan emas pula wajib menjual komoditi pada harga yang ditetapkan apabila pihak lain dalam perjanjian menuntut penghantaran sehingga tarikh luput opsyen.

Opsyen jual emas memberi pemiliknya hak, tetapi bukan kewajiban untuk menjual sejumlah tertentu komoditi pada harga yang telah ditetapkan (harga strike) sehingga opsyen itu luput. Opsyen jual emas biasanya lebih bernilai apabila logam berharga ini berada dalam trend menurun kerana pemiliknya telah mengunci jualan pada harga yang lebih tinggi. Pembeli opsyen jual emas mempunyai hak, tetapi bukan kewajiban untuk menjual kuantiti tertentu emas. Sebaliknya, penjual opsyen jual emas wajib membeli komoditi itu pada harga yang ditetapkan daripada pihak satu lagi dalam perjanjian.

Jika pemegang opsyen panggilan mahupun pemegang opsyen jual tidak melaksanakan hak mereka, kontrak opsyen akan luput tanpa nilai.

Pemegang opsyen hanya akan bersedia melaksanakan hak opsyen emas mereka jika mereka boleh mendapat keuntungan daripada keadaan pasaran semasa. Jika logam berharga didagangkan pada harga yang jauh lebih tinggi daripada harga strike opsyen, pemegang opsyen akan mendapat keuntungan sekiranya memilih untuk melaksanakan opsyen tersebut. Pelabur kemudian boleh menjual emas di pasaran terbuka untuk mendapat keuntungan.

Namun, jika emas didagangkan pada atau berhampiran harga strike opsyen, pemegang opsyen sama ada tidak mendapat keuntungan (break even) atau mendapat kerugian (apabila kos awal untuk membeli opsyen tersebut diambil kira).

perdagangan emas

Pilihan 5: Berdagang CFD Emas

Kontrak untuk Perbezaan (CFD) emas adalah produk yang mempunyai leveraj dan memerlukan pedagang menyediakan sejumlah kecil peratusan daripada jumlah perdagangan keseluruhan, juga dikenali sebagai keperluan margin.

CFD adalah instrumen derivatif yang membolehkan anda membuat spekulasi terhadap pergerakan harga emas tanpa perlu memiliki aset itu secara fizikal (emas fizikal, saham emas, ETF emas, niaga hadapan emas atau opsyen emas).

Nilai CFD mewakili perbezaan antara harga emas pada masa pembelian dan harga pasaran semasa. Perbezaan itu boleh berdasarkan harga spot emas, niaga hadapan emas, ETF emas atau saham perlombongan emas.

Kelebihan utama berdagang CFD emas termasuk tiada kos penyimpanan atau komisen perdagangan. Kos yang dibayar hanyalah spread bida-tawar yang akan berubah bergantung pada syarikat broker dalam talian.

Walau bagaimanapun, dari sisi negatif, perdagangan CFD mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami kerugian modal dengan cepat kerana penggunaan leveraj. Oleh itu, anda sangat disarankan untuk memperoleh sebanyak mungkin pengetahuan tentang cara instrumen derivatif ini berfungsi sebelum mula berdagang menggunakan wang sebenar. Titik permulaan yang baik adalah membuka akaun demo dengan broker dalam talian yang bereputasi yang membolehkan anda menguji ciri-ciri platform broker tersebut dan pelbagai strategi perdagangan emas tanpa risiko (dengan menggunakan dana maya). Setelah anda beroleh keyakinan yang cukup untuk berdagang menggunakan wang sebenar dalam akaun langsung, anda harus memantau pendedahan risiko dengan teliti dan sentiasa menggunakan semua alat yang disediakan untuk menguruskan risiko perdagangan CFD.

Perlu diingat bahawa perdagangan CFD emas telah diharamkan di Amerika Syarikat sejak penggubalan Akta Dodd-Frank pada tahun 2011. Sebaliknya, penduduk AS boleh berdagang emas secara fizikal melalui derivatif seperti niaga hadapan dan opsyen, serta berdagang saham perlombongan emas.

Pilihan 6: Memiliki Emas Fizikal

Akhir sekali, anda boleh membeli dan memegang emas fizikal dalam bentuk jongkong atau syiling. Sebagai pedagang jongkong, anda boleh memilih untuk menyimpan emas dengan selamat di peti kebal di rumah, atau mengeluarkan wang tambahan untuk menyewa kemudahan penyimpanan berkeselamatan tinggi di luar. Beberapa pedagang jongkong emas dalam talian yang popular untuk anda semak termasuk:

  1. GoldBroker.com – peti simpanan terletak di Zurich (Switzerland), Singapore Freeport, New York (AS) dan Toronto (Kanada); yuran penyimpanan daripada 0.95%;
  2. BullionVault.com – keselamatan peti yang setaraf dengan bank; yuran 0.50% pada transaksi pertama sebanyak $75,000 atau setara mata wang.

Pilihan tambahan termasuk spread betting Emas dan berdagang emas pada harga spot dalam mata wang tertentu.

Jika anda tinggal di United Kingdom atau Ireland, satu lagi cara popular untuk berdagang emas ialah spread betting. Dengan membuka akaun spread betting bersama beberapa broker dalam talian yang terkemuka seperti CMC Markets, anda akan dapat membuat spekulasi terhadap pergerakan harga emas tanpa perlu memiliki aset fizikal. Apabila anda membuat spread betting pada emas, anda juga boleh mendapat kelebihan daripada:

  1. Tiada cukai keuntungan modal ke atas keuntungan daripada spread betting;
  2. Tiada komisen perdagangan yang dikenakan;
  3. Tiada kewajipan untuk membayar duti setem kerana anda sekadar membuat spekulasi pada pergerakan harga emas tanpa memiliki aset sebenar.

Perdagangan emas yang dipasangkan terhadap mata wang tertentu seperti Dolar AS atau Euro adalah sangat serupa dengan perdagangan Forex. Berbanding dua mata wang, pasangan ini akan menggabungkan logam berharga dan harga spotnya dalam mata wang tertentu. Harga spot mewakili harga emas itu boleh dijual untuk penghantaran segera. Pasangan logam-mata wang paling popular termasuk Emas/Dolar AS (XAU/USD), Emas/Euro (XAU/EUR), Perak/Dolar AS (XAG/USD), Perak/Euro (XAG/EUR) dan lain-lain.

Waktu perdagangan Emas

Perdagangan emas yang berbeza dengan segmen pasaran waktu siang yang lain, disediakan kepada pedagang selama 24 jam sehari. Namun, perlu dinyatakan bahawa beberapa pasaran derivatif (seperti niaga hadapan) mempunyai waktu perdagangan tertentu bergantung pada bursa tempat ia didagangkan. Sebagai contoh, niaga hadapan emas di COMEX CME didagangkan dari hari Ahad hingga Jumaat antara jam 5:00 ptg dan 4:00 ptg Waktu Pusat (Central Time).

Adakah Emas sangat cair dan boleh didagangkan dalam jangka masa pendek?

Emas, bersama logam berharga lain seperti perak, platinum dan paladium, adalah aset yang sangat cair dan juga dianggap sebagai salah satu aset fizikal yang paling tahan inflasi. Harga emas cenderung berubah pada kadar yang stabil dari masa ke masa, bermaksud kita tidak boleh mengharapkan pergerakan yang naik atau turun secara mendadak (berbeza dengan aset lain seperti mata wang kripto). Walaupun logam berharga ini sering dianggap sebagai instrumen spekulatif yang berisiko rendah, ramalan yang teliti dan pemilihan masa yang tepat boleh menjadikannya aset yang menguntungkan untuk perdagangan jangka pendek.

Namun, perlu diingat bahawa sesetengah pedagang hari mungkin mengelak daripada mengambil posisi dalam perdagangan emas kerana volatiliti relatifnya yang rendah dalam jangka pendek.

Ada kekurangan dalam perdagangan Emas? Adakah syiling Emas lebih bernilai daripada jongkong Emas?

Seperti komoditi lain, Emas juga mempunyai beberapa kekurangan. Berdagang atau menyimpan sesetengah bentuk Emas boleh menjadi pengalaman yang mahal, terutamanya apabila melibatkan Emas fizikal seperti syiling dan jongkong.

Sesetengah pedagang menganggap sejarah harga emas yang tidak menentu sebagai satu kekurangan juga.

Apabila berkaitan emas fizikal, syiling lebih bernilai berbanding jongkong kerana kos cetakan tambahan yang berkaitan dengan pembuatan syiling. Walau bagaimanapun, peniaga emas boleh menyimpan kedua-dua syiling dan jongkong kerana setiap aset ini berbeza dari segi kualiti. Selain itu, dari semasa ke semasa, syiling emas cenderung mempunyai nilai artistik dan sentimental.

Sekarang, mari lihat ringkasan mengenai kelebihan dan kekurangan perdagangan emas.

Kelebihan Emas

  • Boleh digunakan sebagai lindung nilai terhadap ketaktentuan ekonomi dan politik, serta bencana alam
  • Boleh digunakan sebagai lindung nilai terhadap inflasi
  • Boleh mengekalkan nilainya dari semasa ke semasa
  • Pelaburan yang bersifat cair walaupun bekalannya terhad
  • Melindungi kekayaan pelabur dan mempelbagaikan portfolio pelabur
  • Tidak berkorelasi dengan pasaran saham dan beberapa kelas aset lain

Kekurangan Emas

  • Ia bukan pelaburan pasif
  • Perdagangan dikaitkan dengan risiko mata wang disebabkan hubungan rapat dengan Dolar AS
  • Ia bukan instrumen yang memberi pulangan keuntungan (tiada faedah)
  • ETF emas boleh dikaitkan dengan yuran perdagangan yang lebih tinggi
  • Mengikut sejarah, ia menunjukkan prestasi yang jauh lebih rendah daripada segmen pasaran lain seperti saham dan bon dalam jangka masa panjang

Berdagang Emas dengan IC Markets, penyedia CFD terkemuka

IC Markets, salah satu peneraju dalam khidmat perdagangan Forex dan CFD dalam talian di seluruh dunia, menawarkan beberapa syarat terbaik untuk berdagang emas melalui CFD. Jika anda memilih broker ini, anda akan mendapat akses kepada:

  • kecairan antara bank yang mendalam dan penetapan harga mentah bagi emas pada Akaun Raw Spread dengan spread serendah 0.0 pip;
  • nisbah leveraj sehingga 1:500;
  • pelaksanaan pesanan yang luar biasa dengan laten rendah dan tanpa campur tangan meja urus niaga;
  • tiada had dalam saiz perdagangan – perdagangan lot mikro dibenarkan untuk pengurusan risiko yang lebih ketat;
  • persekitaran yang sesuai untuk pembangunan penasihat pakar dan pengujian semula, membolehkan automasi perdagangan CFD emas anda;
  • tiada had pada pesanan perdagangan – satu keadaan yang sesuai untuk gaya perdagangan seperti scalping. Anda dapat membuat pesanan Stop Loss dan Take Profit pada jarak pip terdekat dari harga pasaran semasa.

Membuka akaun langsung dengan IC Markets adalah proses yang agak pantas dan mudah, ia merangkumi beberapa langkah:

  1. Memberikan Butiran Perhubungan – negara tempat tinggal, nama pertama dan terakhir, alamat e-mel dan nombor telefon;
  2. Memberikan Butiran Peribadi – tarikh lahir dan alamat;
  3. Pemilihan Jenis Akaun – individu, bersama atau korporat;
  4. Konfigurasi Akaun Perdagangan – memilih platform perdagangan, jenis akaun (Standard atau Raw Spread) dan mata wang asas akaun;
  5. Memberikan maklumat tentang pengalaman perdagangan anda dan memilih soalan keselamatan;
  6. Kenyataan bahawa anda telah membaca dan bersetuju dengan semua dokumentasi undang-undang IC Markets, termasuk Terma dan Syarat, Dasar Pelaksanaan Pesanan, Dasar Privasi dan Notis Pendedahan Risiko;
  7. Memberikan bukti pengenalan (Pasport, atau kad Pengenalan Negara, atau Lesen Memandu) dan bukti tempat tinggal (bil utiliti, atau penyata akaun bank), yang perlu disahkan oleh IC Markets;
  8. Sebaik sahaja anda mengisi borang profil dan memuat naik dokumentasi pengenalan, anda perlu menunggu sehingga broker mengesahkan akaun langsung anda. Prosedur ini mengambil masa selama satu hari bekerja;
  9. Setelah semakan selesai, anda boleh membiayai akaun anda dan mula berdagang CFD emas.

Anda juga akan dapat menguji strategi perdagangan CFD emas tanpa risiko di Akaun Demo IC Markets dengan menggunakan dana maya.

Seterusnya, kami akan menyediakan beberapa strategi perdagangan emas, termasuk strategi berdasarkan kajian teknikal. Mari mulakan dengan salah satu pendekatan perdagangan yang paling popular.

Strategi Beli dan Simpan

Disebabkan faktor sejarah yang menjadikan logam berharga ini satu pelaburan yang menarik, sesetengah pedagang mungkin memilih untuk membeli sejumlah emas dan menyimpan untuk jangka masa panjang. Apabila menggunakan strategi sebegini, penting untuk anda mencari masa pasaran yang tepat, tetapi ia mungkin tidak muncul dengan serta-merta.

Untuk mengenal pasti peluang yang baik untuk membeli emas, lihat salah satu rangka masa carta yang lebih besar, contohnya carta mingguan, dan gunakan indikator Bollinger Bands. Jika anda membuka posisi panjang (beli) ketika harga emas berada hampir dengan jalur bawah Bollinger Band, ia mungkin menjadi titik masuk perdagangan yang sesuai.

strategi beli tahan emas

Memberi perhatian pada nisbah Emas/Perak

Satu lagi strategi yang boleh digunakan oleh pedagang jangka panjang ialah menjejak nisbah emas/perak. Sebabnya adalah dari perspektif sejarah, kedua-dua logam berharga ini dianggap sebagai penyimpan nilai yang mempunyai kegunaan komersial.

Nisbah emas/perak mencerminkan hubungan perkadaran antara harga spot emas dan perak, atau jumlah auns perak yang boleh dibeli dengan satu auns emas.

Nisbah emas-perak

Sumber: BullionByPost

Pedagang akan membangunkan strategi berdasarkan jenis logam yang lebih murah berbanding yang lain. Nisbah yang rendah menunjukkan emas mungkin dinilai rendah, atau perak mungkin dinilai terlalu tinggi, dan begitu juga sebaliknya.

Jika anda memiliki 1 auns emas dan nisbah itu meningkat kepada paras tinggi sejarah, katakan 150, maka anda akan menjual 1 auns emas untuk mendapatkan 150 auns perak. Dan, jika nisbah itu jatuh kepada paras rendah sejarah, katakan 75, maka anda akan menjual 150 auns perak anda untuk mendapatkan 2 auns emas.

Strategi perdagangan Emas yang mudah menggunakan indikator SMA, EMA dan MACD

Mari kita lihat carta 4-jam bagi Spot Gold (XAU/USD). Untuk strategi perdagangan ini, kami telah memilih indikator teknikal berikut:

  • Purata Bergerak Mudah (Simple Moving Average – SMA) 100 tempoh
  • Purata Bergerak Mudah 200 tempoh
  • Purata Bergerak Mudah 15 tempoh (garis merah pada carta)
  • Purata Bergerak Eksponen (EMA) 5 tempoh (garis hitam pada carta)
  • Indikator Moving Average Convergence Divergence (MACD) dengan tetapan lalai (jangka pendek – 12; jangka panjang – 26; MACD SMA – 9).

Pertimbangkan pembukaan posisi panjang (beli) pada emas apabila:

  1. terdapat persilangan antara EMA 5 tempoh dan SMA 15 tempoh dari bawah ke atas dan lilin semasa telah ditutup;
  2. terdapat juga persilangan antara dua garis MACD.

Perhatikan garis MACD mungkin bersilang lebih awal atau selepas persilangan EMA 5 tempoh dan SMA 15 tempoh. Selain itu, anda tidak seharusnya memasuki pasaran jika kedua-dua persilangan itu tiada. Anda harus meletakkan Stop Loss pada tahap sokongan terdekat, dengan jarak sekurang-kurangnya 40 pip. Anggap ini sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku pergerakan mendadak yang besar. Posisi panjang hanya boleh ditutup apabila dua persilangan (bertentangan dengan yang dinyatakan di atas) muncul. Jika hanya satu persilangan berlaku, anda perlu mengekalkan posisi tersebut.

Strategi emas 1

Pertimbangkan untuk mengambil posisi pendek (jual) pada emas apabila:

  1. terdapat persilangan antara EMA 5 tempoh dan SMA 15 tempoh dari atas ke bawah dan lilin semasa telah ditutup;
  2. terdapat juga persilangan antara dua garis MACD.

Anda harus meletakkan Stop Loss pada tahap rintangan terdekat, dengan jarak sekurang-kurangnya 40 pip. Sekali lagi, posisi pendek hanya boleh ditutup apabila dua persilangan (bertentangan dengan yang dinyatakan di atas) muncul.

Selain itu, beri perhatian bahawa anda tidak perlu memasuki pasaran apabila Spot Gold didagangkan pada jarak yang kurang daripada 25 pip dari Purata Bergerak Mudah 100 tempoh atau Purata Bergerak Mudah 200 tempoh.

Strategi perdagangan Emas lain yang bergantung pada EMA dan RSI

Jika anda tidak mempunyai banyak masa untuk mengikuti perkembangan harga emas intrahari dengan teliti, strategi ini mungkin berguna. Mari lihat carta 1-hari Spot Gold. Untuk strategi ini, kami telah memilih indikator teknikal berikut:

  • Purata Bergerak Eksponen (Exponential Moving Average – EMA) 5 hari (garis merah pada carta)
  • Purata Bergerak Eksponen (Exponential Moving Average – EMA) 12 hari (garis hitam pada carta)
  • Indeks Kekuatan Relatif (RSI) dengan tempoh masa 21.

Pertimbangkan untuk mengambil posisi panjang (beli) pada emas apabila:

  1. terdapat persilangan EMA 5 hari dan EMA 12 hari dari bawah ke atas dan
  2. RSI berada di atas paras 50.00.

Anda harus keluar dari posisi panjang apabila kedua-dua Purata Bergerak Eksponen bersilang dalam arah bertentangan (dari atas ke bawah), atau bacaan RSI jatuh di bawah tahap 50.00.

Carta di bawah menggambarkan perdagangan panjang pada emas berdasarkan strategi ini.

Strategi emas 2

Pertimbangkan untuk mengambil posisi pendek (jual) pada emas apabila:

  1. terdapat persilangan EMA 5 hari dan EMA 12 hari dari atas ke bawah dan
  2. RSI berada di bawah paras 50.00.

Anda harus keluar dari posisi pendek apabila kedua-dua Purata Bergerak Eksponen bersilang dalam arah bertentangan (dari bawah ke atas), atau bacaan RSI meningkat melebihi tahap 50.00.

Strategi perdagangan Emas yang menggabungkan RSI dan Bollinger Bands

Kali ini kita akan meneliti carta 30 minit dan 4 jam Spot Gold. Untuk strategi ini, kita akan menggunakan indikator teknikal berikut:

  • Indeks Kekuatan Relatif (RSI) dengan tempoh 14, paras terlebih beli pada 70.00 dan terlebih jual pada 30.00;
  • Bollinger Bands dengan tetapan lalai.

Paras 50.00 pada RSI akan digunakan untuk menentukan sama ada harga emas sedang menaik atau menurun. Dengan melihat rangka masa 4 jam emas, jika kita melihat bacaan RSI lebih tinggi daripada 50.00, maka logam berharga berada dalam trend menaik. Sebaliknya, jika bacaan RSI lebih rendah daripada 50.00, pasaran berada dalam trend menurun.

Untuk memasuki pasaran, kita akan menggunakan carta 30 minit emas.

Jika terdapat trend bulis dan satu lilin ditutup di bawah jalur bawah Bollinger, kita perlu memberi tumpuan pada lilin berikutnya. Sekiranya ia ditutup di atas jalur bawah, ini boleh dianggap sebagai persediaan masuk panjang (long entry setup). Stop Loss akan diletakkan pada harga terendah lilin yang ditutup di bawah jalur bawah Bollinger.

Strategi emas 3

Jika terdapat trend bearis dan satu lilin ditutup di atas jalur atas Bollinger, kita sekali lagi perlu memberi tumpuan pada lilin berikutnya. Jika ia ditutup di bawah jalur atas, ini boleh dianggap sebagai persediaan masuk pendek (short entry setup). Stop Loss akan diletakkan pada harga tertinggi lilin yang ditutup di atas jalur atas Bollinger.

Kalkulator Tahap Fibonacci

Nilai
Tahap Retracement
TahapHarga
Tahap Lanjutan
TahapHarga

Kesimpulan

Jika anda baru ingin bermula, perdagangan CFD emas mungkin menjadi pilihan yang paling sesuai (paling murah dan paling mudah diakses) untuk anda. Namun begitu, memandangkan CFD melibatkan risiko tinggi kehilangan modal dengan cepat disebabkan leveraj, anda harus mendekati instrumen derivatif ini dengan pengurusan risiko yang ketat (saiz posisi yang sesuai, penggunaan semua alat risiko yang disediakan – Stop Loss, Trailing Stop, Guaranteed Stop dan sebagainya) serta pelan perdagangan yang jelas.

Selain itu, memilih penyedia CFD dalam talian yang dikawal selia dengan kukuh dan mempunyai reputasi baik adalah perkara penting yang perlu dipertimbangkan. Dengan cara itu, fikiran anda akan berasa tenang kerana berurusan dengan sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan secara telus dan beretika. Kajian mendalam terhadap broker yang berbeza sentiasa disarankan sebelum anda melaburkan wang sebenar dan mula berdagang menggunakan perisian broker tersebut.

Akhir sekali, anda digalakkan untuk meluangkan sebanyak mungkin masa dalam pendidikan yang berkualiti untuk memahami faktor yang mempengaruhi pasaran emas serta memperoleh kemahiran yang akan membantu anda dalam memilih perdagangan dengan betul.

Ditulis oleh R. Perry | Diterjemahkan oleh Shakirah Manijal