Laman Utama » Analisis Teknikal
Ditulis oleh Richard Perry
Richard Perry ialah seorang pakar yang diiktiraf dalam analisis teknikal dan strategi pasaran, dengan pengalaman yang luas dalam pasaran mata wang dan ekuiti. Beliau telah menubuhkan firma sendiri bernama Perry Market Analysis yang menyediakan perkhidmatan perundingan dan analisis bagi pasaran utama, termasuk penyelidikan melalui webinar, video dan analisis bertulis.
, | Diterjemahkan oleh Shakirah Manijal
Shakirah Manijal merupakan pakar kandungan yang berpengalaman dalam penterjemahan dan penyuntingan Bahasa Melayu, khususnya bagi ulasan broker dan kandungan berkaitan perdagangan.
, | Dikemas Kini:

Analisis teknikal merupakan kaedah penilaian pasaran yang meneliti statistik aktiviti pasaran seperti harga sejarah dan volum. Tidak seperti penganalisis fundamental, penganalisis teknikal tidak berusaha untuk menentukan nilai intrinsik sesuatu instrumen perdagangan. Sebaliknya, mereka menggunakan carta harga dan alat lain untuk mengenal pasti corak yang memberi petunjuk tentang aktiviti pasaran masa hadapan.

Dengan semua alat yang eksotik, analisis teknikal pada dasarnya mengkaji bekalan dan permintaan pasaran untuk menentukan arah aliran (arah pasaran) pada masa hadapan. Ia boleh digunakan pada mana-mana kelas aset yang mempunyai data perdagangan sejarah – Forex, Saham, Komoditi, Indeks Saham, Mata Wang Kripto, Bon, Niaga Hadapan, dan lain-lain.

Terdapat tiga andaian utama dalam analisis teknikal:

  1. Pertama, harga mencerminkan segala-galanya. Penganalisis teknikal menganggap bahawa, pada bila-bila masa, harga sesuatu instrumen perdagangan akan mencerminkan segala-segalanya yang telah mempengaruhi atau mungkin mempengaruhi pasaran, termasuk faktor fundamental. Dalam amalan pasaran saham contohnya, penganalisis menganggap asas syarikat, faktor makroekonomi yang lebih luas serta psikologi pasaran telah pun dicerminkan dalam nilai saham. Oleh itu, semua faktor ini tidak perlu diambil kira secara berasingan.
  2. Kedua, pergerakan harga cenderung mengikuti trend. Setelah suatu trend terbentuk, pergerakan harga pada masa akan datang berkemungkinan besar akan meneruskan arah trend tersebut dan bukannya bergerak melawan trend.
  3. Ketiga, sejarah berulang, terutamanya dari segi pergerakan harga. Ini sering dikaitkan dengan psikologi pasaran. Atau kita boleh katakan ahli pasaran bertindak balas secara konsisten terhadap rangsangan pasaran yang serupa dari semasa ke semasa. Analisis teknikal menggunakan corak carta untuk mengkaji pergerakan pasaran dan mengenal pasti trend. Carta menggambarkan corak harga yang kerap berulang.

Kelebihan dan kekurangan analisis teknikal

Pertama sekali, analisis teknikal tidak terlalu bergantung kepada data fundamental. Bagi seorang penganalisis teknikal, setiap berita atau setiap laporan makro telah pun diambil kira dalam harga oleh pasaran dalam cara tertentu. Jadi, pedagang tidak semestinya perlu menunggu keluarnya angka makro bulanan atau suku tahunan ataupun menunggu sesuatu peristiwa bermusim berlaku.

Satu lagi kelebihan analisis teknikal adalah ia memberikan gambaran data yang cepat kepada pedagang. Semua maklumat yang diperlukan berada dalam satu carta harga – pergerakan harga, minat terbuka (open interest), dan volum. Dengan menggunakan alat analisis yang sesuai, penganalisis teknikal dapat menentukan sama ada sesuatu perdagangan itu berbaloi untuk dibuat atau tidak dalam beberapa minit. Mereka juga dengan mudah dapat menganggarkan sasaran keuntungan dan parameter pengurusan risiko.

technical analysis

Bagi kekurangan pula, pertama sekali, pedagang teknikal perlu berhati-hati apabila mendasarkan strategi mereka terutamanya pada indikator yang lewat (lagging). Ini kerana indikator tersebut hanya akan menunjukkan peristiwa lalu dan semasa. Namun, indikator ini tidak akan pernah meramalkan perkembangan masa hadapan dengan tepat dan konsisten.

Selain itu, oleh kerana alat analisis teknikal boleh diakses oleh semua ahli pasaran, seseorang akan bersaing dengan pedagang baharu dan berpengalaman yang menggunakan set alat yang sama. Oleh kerana ramai pedagang menggunakan strategi yang serupa, penempatan henti rugi serta zon sokongan dan rintangan menjadi mudah diramalkan. Oleh itu, turun naik harga juga menjadi boleh diramal. Dan jika pedagang ingin mendapat kelebihan, mereka terpaksa memperhalusi alat perdagangan dan strategi perdagangan mereka.

Akhir sekali, pedagang perlu belajar mentafsir pengiraan alat analisis teknikal dengan lebih baik daripada ahli pasaran yang lain. Tiada cara yang salah untuk mentafsir data yang dikumpulkan, namun ada cara yang lebih baik.

Dalam panduan ini, kami akan memberi tumpuan pada beberapa konsep utama dalam analisis teknikal, meneroka indikator teknikal yang popular, dan melihat corak carta yang biasa diperhatikan.

Konsep trend pasaran

Apabila bercakap tentang trend, kita merujuk kepada arah yang diambil oleh harga pasaran. Trend arah yang dibentuk oleh kenaikan atau penurunan harga, boleh dimanfaatkan oleh pedagang untuk memperoleh keuntungan dengan melaksanakan strategi mengikut trend yang sesuai.

Trend menaik (bull) boleh diperhatikan apabila harga merekodkan paras puncak yang lebih tinggi dan paras dasar yang lebih tinggi.

Up

Trend menurun (bear) boleh diperhatikan apabila harga merekodkan paras puncak yang lebih rendah dan paras dasar yang lebih rendah.

down

Trend mendatar (trend datar atau julat perdagangan) boleh diperhatikan apabila harga cenderung bergerak dalam julat tertentu, tanpa menunjukkan pergerakan yang ketara ke atas atau ke bawah. Dalam kata lain, ia cenderung kekal pada tahap yang hampir sama. Konfigurasi pasaran sedemikian boleh dilihat apabila suatu trend yang lebih besar berhenti sementara.

side

Perlu dinyatakan bahawa kaedah mengikuti trend hanya boleh dipercayai semasa trend bull atau bear, tetapi ia tidak akan memberi hasil yang baik dalam trend mendatar. Untuk memanfaatkan trend mendatar, kebanyakan pedagang yang bergantung pada analisis teknikal akan menggunakan osilator harga.

Selain itu, pergerakan harga tidak pernah berkembang dalam satu garis berterusan tanpa gangguan. Kadang-kadang, terdapat pergerakan kecil yang berlawanan dengan trend dalam trend yang lebih besar, menjadikan trend asas sukar dikenal pasti. Kita juga harus perhatikan bahawa trend boleh mempunyai panjang yang berbeza. Dalam kata lain, trend jangka pendek merupakan sebahagian daripada trend jangka panjang. Dari perspektif seorang penganalisis teknikal, trend mewakili pergerakan harga berarah yang kekal cukup lama untuk dikenal pasti dan dimanfaatkan.

Beberapa penganalisis teknikal biasanya melicinkan (smooth) trend jangka pendek dalam trend yang dikaji dengan menggunakan purata bergerak. Dengan cara ini, mereka dapat mengenal pasti trend jangka panjang.

Pedagang lain akan memeriksa carta harga dengan teliti untuk mencari titik ekstrem (puncak dan dasar) yang dipisahkan oleh tempoh masa tertentu dan selepas itu – melukis garis antara titik-titik tersebut. Garis sedemikian dikenali sebagai garis trend. Apabila melukis garis antara titik ekstrem – puncak ke puncak dan dasar ke dasar, pedagang dapat menentukan arah harga dan hadnya. Garis trend, jika ditembusi, mungkin menunjukkan yang trend asas sedang atau akan berbalik.

Untuk memaparkan trend menurun, pedagang biasanya akan melukis garis trend di atas pergerakan harga. Untuk memaparkan trend menaik, pedagang biasanya akan melukis garis trend di bawah pergerakan harga. Dalam trend menurun, garis trend akan ditentukan oleh puncak harga (highs). Dalam trend menaik, garis trend akan ditentukan oleh dasar harga (lows). Anda perlu mencari sekurang-kurangnya dua swing high atau dua swing low untuk melukis garis trend. Namun, garis trend yang sah biasanya ditentukan oleh sekurang-kurangnya tiga puncak atau tiga dasar.

bull trend

Bear trend

Konsep sokongan dan rintangan

Paras harga penting berdasarkan data sejarah yang digunakan oleh pedagang untuk mengenal pasti titik potensi di mana pergerakan pasaran mungkin terhenti dan berbalik dikenali sebagai paras sokongan dan rintangan.

Paras sokongan menandakan titik terendah dalam trend bear (menurun) pasaran – biasanya satu paras rendah. Pada paras ini, jualan menghadapi “sokongan pembelian”, apabila bulls masuk ke pasaran dan momentum ke bawah hilang kekuatan. Paras sokongan biasanya berfungsi sebagai isyarat untuk pedagang membuka posisi long (beli) atau sebagai sasaran harga untuk posisi short (jual) sedia ada.

Paras rintangan menandakan titik tertinggi dalam trend bull (menaik) pasaran, di mana bulls (pembeli) seimbang dengan bears (penjual). Apabila bilangan penjual mengatasi pembeli, harga akan berundur dari paras rintangan itu. Paras itu biasanya berfungsi sebagai isyarat untuk pedagang membuka posisi short (jual) atau sebagai sasaran harga untuk posisi long (beli) sedia ada.

Untuk mengesan paras sokongan atau rintangan, pedagang perlu meneliti carta bagi setiap paras rendah atau tinggi yang signifikan atau pada paras tertentu di mana pergerakan pasaran berulang kali terhenti dan bertukar arah.

resistance graphic 1

Kita dapat melihat pergerakan harga ke atas telah dihentikan dan berbalik pada beberapa kesempatan – iaitu di paras rintangan yang jelas.

Dalam carta berikut, kita dapat melihat situasi yang bertentangan – pergerakan harga ke bawah telah berhenti dan berbalik pada beberapa kesempatan – iaitu di paras sokongan yang jelas.

support graphic 1

Selepas kita menentukan paras sokongan dan rintangan, kita perlu memvisualisasikannya untuk digunakan selanjutnya. Kita hanya akan melukis satu garis mendatar melalui paras rintangan atau sokongan yang telah dikenal pasti, di mana pergerakan harga telah berbalik.

resistance graphic 2

support graphic 2

Purata bergerak juga boleh berfungsi sebagai paras sokongan dan rintangan. Apabila harga bergerak dalam trend bear dan menghampiri purata bergerak dari atas, harga biasanya akan memantul semula dari paras tersebut. Namun, jika harga menembusi ke bawah purata dan terus menurun, ini mungkin isyarat kuat untuk mengambil posisi short (jual).

MA support graphic

Apabila harga bergerak dalam trend bull dan menghampiri purata bergerak dari bawah, harga biasanya akan menghadapi rintangan pada paras itu. Namun, jika harga menembusi ke atas purata bergerak dan terus meningkat, ini mungkin isyarat kuat untuk mengambil posisi long (beli).

MA resistance graphic

Kalkulator Paras Fibonacci

Nilai
Tahap Retracement
TahapHarga
Tahap Lanjutan
TahapHarga

Paras Fibonacci membolehkan penganalisis teknikal mengenal pasti paras rintangan dan sokongan yang mungkin menunjukkan titik di mana harga aset mungkin mempercepatkan pergerakannya, berhenti seketika, atau berundur semula.

Paras retracement Fibonacci membolehkan pedagang yang menggunakan analisis teknikal meramalkan di mana kemerosotan harga mungkin berakhir dalam sesuatu trend. Sebagai contoh, jika harga saham melonjak dari $100 ke $150, mereka yang menggunakan kalkulator paras Fibonacci mungkin mencari paras sokongan di sekitar $138.2 (menunjukkan retracement 61.8%).

Oleh kerana sejumlah besar penganalisis teknikal menggunakan paras Fibonacci dan memilih untuk bertindak ke atasnya, membuat banyak pesanan pada tahap-tahap ini sebenarnya boleh menyebabkan harga bertindak balas, sekaligus mengukuhkan keberkesanan paras Fibonacci.

Walaupun paras retracement dapat membantu anda mengenal pasti trend dalam pembetulan harga (price pullback), paras extension pula boleh berguna untuk meramalkan sejauh mana harga boleh bergerak selepas penembusan (breakout).

Paras Fibonacci sesuai untuk carta jangka pendek mahupun jangka panjang, membantu pedagang swing, harian dan pelabur jangka panjang.

Breakout (Penembusan)

Kebanyakan masa, breakout berlaku apabila harga menembusi ke bawah paras (atau zon) sokongan sebelumnya dan terus bergerak lebih rendah, atau apabila ia menembusi ke atas paras (atau zon) rintangan sebelumnya dan terus bergerak lebih tinggi. Breakout menandakan perubahan ketara dalam permintaan dan bekalan instrumen perdagangan tertentu, dan bahawa trend baru mungkin akan bermula.

Breakout yang mengikut arah trend sebelumnya biasanya mengesahkan trend masih berterusan. Walau bagaimanapun, breakout yang bertentangan dengan arah trend sebelumnya biasanya menandakan trend mungkin cuba berbalik arah dan pedagang harus keluar dari posisi mereka dan mungkin membalikkannya.

Satu keadaan utama yang mencetuskan breakout termasuklah penembusan garis trend sebelumnya atau zon sokongan atau rintangan. Dan keadaan utama yang kedua pula termasuk pengesahan bahawa penembusan tersebut adalah breakout sebenar dan bukan “fakeout” (penembusan palsu).

Jika kita melibatkan zon sokongan (rintangan), paras breakout yang tepat mungkin tidak jelas. Tetapi biasanya, titik ekstrem zon sokongan (rintangan) boleh dianggap sebagai paras breakout.

Breakouts

Jika kita melihat kes garis trend, ia boleh berfungsi sebagai paras breakout yang lebih tepat. Dalam kes ini, pedagang perlu mendapatkan pengesahan yang garis trend telah ditembusi. Sesetengah pedagang mungkin memilih untuk menunggu lilin breakout ditutup. Pedagang lain mungkin memilih untuk menunggu dua atau lebih lilin ditutup di bawah paras sokongan atau di atas paras rintangan.

Terdapat juga kaedah pengesahan yang lain. Seorang pedagang boleh menetapkan zon breakout dengan peratusan tertentu melebihi paras breakout. Jika harga berjaya menembusi paras breakout dan zon breakout di luarnya, maka ini boleh menjadi breakout sebenar. Pedagang boleh menggunakan apa-apa peratusan sebagai isyarat. Paling biasa (dalam amalan perdagangan saham), mereka akan menggunakan peraturan 3% – iaitu titik yang berada 3% melebihi paras breakout.

Pada carta 1-jam USD/JPY di bawah, kami menggunakan penapis 0.30% dari paras breakout.

Breakout graphic

Retracement (pembetulan kepada trend utama)

Retracement (pembetulan) adalah pembalikan sementara dalam arah harga yang berlaku bertentangan dengan trend utama. Retracement berbeza daripada pembalikan (reversal). Retracement ialah pembetulan jangka pendek kepada trend jangka panjang asas, manakala reversal menunjukkan pengakhiran trend utama dan permulaan trend baharu.

Dalam trend bull (menaik) yang ketara, kenaikan harga secara berkala diganggu oleh pembetulan bearish (menurun). Pembetulan ini biasanya bermula pada paras rintangan dan berakhir pada paras sokongan. Retracement merupakan trend yang lebih kecil dan bergerak berlawanan dengan trend utama.

Dalam trend bull (menaik) yang ketara, logik untuk mengharapkan retracement akan bersifat pendek dan tidak akan membetulkan peratusan yang besar daripada kenaikan sebelumnya. Sekiranya trend bull kelihatan kukuh, retracement biasanya tidak akan melebihi 50% daripada kenaikan terdahulu. Prinsip yang sama juga terpakai untuk trend bear (menurun).

Retracements graphic

Dalam trend bull, jika retracement melanjutkan penurunannya melebihi 50%, garis trend dalam trend jangka panjang tidak lagi relevan. Oleh itu, saiz retracement menunjukkan sejauh mana kekuatan trend jangka panjang.

Saluran

Saluran mewakili julat perdagangan yang ditentukan oleh garis trend dan garis selari yang dilukis merentasi puncak dan dasar harga. Tiga jenis saluran boleh terbentuk bergantung pada arah harga – saluran menaik, saluran menurun, dan saluran mendatar.

Saluran menaik mewakili julat perdagangan yang condong ke atas, di mana harga membentuk paras tinggi yang lebih tinggi dan paras rendah yang lebih tinggi pada kadar yang hampir sama.

Untuk membentuk saluran menaik, pedagang perlu mengikuti beberapa langkah mudah:

  1. Pertama, lukis garis trend seperti yang dibincangkan sebelum ini dalam panduan;
  2. Kedua, lukis satu lagi garis trend dengan sudut yang sama dan laraskan panjangnya mengikut unjuran saluran;
  3. Ketiga, seret garis selari tersebut dan plotkannya supaya ia melalui paras tinggi terdekat;
  4. Keempat, jika saluran menaik benar-benar wujud, semua paras tinggi terdahulu akan berada pada garis selari tersebut (atau menyimpang daripadanya dengan sangat sedikit);
  5. Kelima, jangan cuba memaksa garis kedua (klon) kelihatan selari dengan garis trend. Jika ia tidak sepadan, maka saluran tersebut sebenarnya tidak wujud.

Up channel graphic

Saluran menurun mewakili julat perdagangan yang condong ke bawah di mana harga membentuk paras tinggi yang lebih rendah dan paras rendah yang lebih rendah pada kadar yang hampir sama.

Down channel graphic

Saluran mendatar mewakili julat perdagangan tanpa perbezaan sudut antara puncak dan dasar – harga bergerak antara paras sokongan dan rintangan yang mendatar.

Horizontal channel graphic

Paras pivot dan cara ia digunakan

Paras Pivot (pivot points) mewakili teknik yang digunakan oleh pedagang harian untuk menentukan paras sokongan dan rintangan yang paling mungkin. Ia juga boleh digunakan untuk mengesahkan breakout daripada julat harga.

Setiap instrumen perdagangan merekodkan empat paras harga utama pada setiap hari perdagangan – harga buka, harga tinggi, harga rendah, dan harga tutup. Paras ini sudah mencukupi untuk mengira titik Pivot.

question mark

Sebab utama ramai pedagang menggunakan teknik ini ialah paras Pivot bersifat ramalan dan dapat menetapkan titik pusingan yang berpotensi untuk sesi perdagangan semasa. Dan disebabkan pasaran cenderung bertindak pada paras-paras ini, pedagang boleh menggunakannya untuk membuka posisi. Formula pengiraan boleh ditunjukkan seperti berikut:

Paras Pivot = (Tinggi + Tutup + Rendah)/3

Setelah anda mengetahui Titik Pivot (PP), anda boleh mengira paras rintangan dan sokongan dengan mudah:

Rintangan 1 = (2 * PP) – Rendah
Sokongan 1 = (2 * PP) – Tinggi

Rintangan 2 = PP + (Tinggi – Rendah)
Sokongan 2 = PP – (Tinggi – Rendah)

Rintangan 3 = Tinggi + 2*(PP – Rendah)
Sokongan 3 = Rendah – 2*(Tinggi – PP)

Jika anda mengambil harga tinggi, rendah, dan tutup sesuatu instrumen semasa hari perdagangan sebelumnya, anda boleh mengira 7 titik penting untuk hari semasa – satu titik pivot sebenar, tiga paras sokongan, dan tiga paras rintangan.

Jika pasaran dibuka di atas paras Pivot, maka kecenderungan sesi semasa sangat mungkin untuk ke arah perdagangan long (beli) selagi instrumen perdagangan berada di atas Titik Pivot. Jika pasaran dibuka di bawah paras Pivot, maka kecenderungan sesi semasa sangat mungkin untuk ke arah perdagangan short (jual) selagi instrumen perdagangan berada di bawah Titik Pivot.

Pedagang boleh menjangkakan pembalikan atau penembusan paras R1 atau S1. Apabila harga mencapai paras R2 dan R3 atau S2 dan S3, aset itu sudah berada dalam keadaan terlebih beli atau terlebih jual. Oleh itu, pedagang biasanya akan menggunakan paras-paras tersebut untuk keluar dari posisi, bukan masuk.

Salah satu senario yang paling menguntungkan adalah jika harga buka berada di atas paras pivot sebenar, kemudian pasaran berhenti seketika di R1 dan terus naik ke arah R2. Dalam kes ini, pedagang mungkin memilih untuk membuka posisi apabila berlaku penembusan di atas R1 dan menetapkan sasaran keuntungan di R2. Jika pasaran benar-benar mencapai R2, pedagang mungkin menutup separuh posisi mereka pada tahap itu. Selepas itu, mereka mungkin menyasarkan R3, di mana mereka mungkin menutup baki perdagangan.

Kelebihan utama teknik paras Pivot ialah pengiraan yang sama berdasarkan formula yang sama digunakan oleh ramai ahli pasaran. Sebaliknya, melukis paras sokongan dan rintangan serta garis trend pada carta harga boleh menjadi agak subjektif.

Purata Bergerak Mudah (SMA)

Purata bergerak adalah indikator berguna yang melicinkan turun naik harga harian, sekali gus membolehkan penganalisis teknikal melihat trend asas tanpa gangguan pergerakan kecil (harian).

Purata bergerak menaik biasanya menunjukkan trend bull sedang berlaku, manakala purata bergerak menurun menunjukkan trend bear. Sesetengah penganalisis teknikal menggunakan pendekatan tertentu apabila mengaitkan purata bergerak dengan trend pasaran. Jika sesuatu instrumen perdagangan ditutup di atas Purata Bergerak Mudah, maka ia mungkin bergerak dalam trend bull. Jika instrumen perdagangan ditutup di bawah Purata Bergerak Mudah, maka ia mungkin bergerak dalam trend bear.

Namun, pemilihan tempoh (panjang) purata bergerak untuk menganggarkan trend pasaran bergantung pada keutamaan peribadi penganalisis. Tempoh SMA biasanya bergantung pada gaya perdagangan dan rangka masa pilihan untuk berdagang. Oleh itu, menetapkan tempoh SMA yang sesuai dicapai melalui percubaan dan pengalaman.

Walaupun SMA membantu mengenal pasti trend pasaran, ia hanya berbuat demikian setelah trend bermula. Atau, kita boleh katakan purata bergerak adalah indikator lewat kerana ia berdasarkan harga sejarah.

Purata bergerak boleh mempunyai panjang yang berbeza. SMA harian yang paling popular adalah untuk tempoh seperti 10, 20, 30, 50, 80, dan 200 hari. SMA 10-hari mewakili masa hampir dua minggu, SMA 20-hari mewakili satu bulan, dan SMA 80-hari mewakili empat bulan data perdagangan.

Simple Moving Average (SMA) graphic

MA dengan panjang yang lebih besar biasanya mengesan perubahan dalam trend pasaran dengan lebih perlahan. Walau bagaimanapun, kebarangkalian MA tersebut memberikan isyarat perubahan trend yang palsu adalah rendah kerana ia mewakili jumlah pemerhatian data yang lebih besar. Lebih banyak maklumat yang disertakan dalam pengiraan SMA, semakin kurang kepentingan data harian dalam pengiraan itu sendiri. Perubahan nilai data yang besar dalam satu hari saja tidak mungkin memberi kesan yang ketara kepada Purata Bergerak Mudah jangka panjang.

Purata Bergerak Eksponen (EMA)

Purata Bergerak Mudah telah dikritik terutamanya kerana “kesan drop-off”. Jika harga terkini menunjukkan hampir tiada perubahan, manakala data harga lama (yang dikeluarkan) menunjukkan perubahan ketara, SMA pasti akan terjejas disebabkan data awal yang diabaikan itu. SMA mengabaikan data lama kerana ia berada di luar tempoh panjang MA. Untuk mengekalkan data lama dalam pengiraan MA, penganalisis teknikal akan menggunakan Purata Bergerak Eksponen (EMA).

Dalam pengiraan SMA untuk bilangan hari perdagangan tertentu, setiap hari dianggap sama penting (diberi pemberat sama). Ini bermakna data untuk setiap hari akan memberi kesan yang sama kepada nilai SMA. EMA akan memberikan berat yang berbeza, bergantung pada tahap terkini data tersebut. Data terkini diberikan kepentingan yang lebih besar (pemberat lebih tinggi) dan data paling lama diberikan kepentingan yang lebih rendah (pemberat lebih rendah).

Exponential Moving Average (EMA) graphic

Carta di atas memaparkan SMA 10-hari (hitam) dan EMA 10-hari (biru). EMA cenderung untuk berubah arah dengan lebih cepat daripada SMA disebabkan pemberat tambahan yang diberikan pada data terkini. Kita boleh melihat pada carta bahawa dalam empat hari terakhir, EMA bergerak di bawah SMA. Ini kerana pasaran menunjukkan trend menurun yang jelas dalam 4 hari terakhir. Oleh itu, EMA memaparkan sentimen terkini dengan lebih jelas. Dalam 12 hari pertama (12 lilin hijau berturut-turut di sebelah kiri), Purata Bergerak Eksponen berada di atas Purata Bergerak Mudah dan bertindak balas dengan lebih pantas terhadap perubahan sentimen (8 lilin merah berturut-turut yang mengikutinya). Kesimpulannya, EMA menggambarkan tindakan ahli pasaran dengan lebih baik berbanding SMA.

Persilangan Purata Bergerak

Penganalisis teknikal biasanya tidak membuat keputusan perdagangan berdasarkan purata bergerak sahaja; sebaliknya, mereka menunggu isyarat paling kuat yang boleh dihasilkan oleh purata bergerak. Isyarat tersebut dikenali sebagai persilangan purata bergerak. Ia dapat dilihat apabila MA jangka pendek melintasi MA jangka panjang. Persilangan menandakan pergerakan ketara hampir sedang berlaku kerana momentum berubah ke satu arah tertentu.

Isyarat bearish (jual) dihasilkan apabila MA jangka pendek melintasi MA jangka panjang dari atas ke bawah. Isyarat bullish (beli) dihasilkan apabila MA jangka pendek melintasi MA jangka panjang dari bawah ke atas.

“Golden Cross” adalah kejadian yang menandakan pergeseran yang besar dalam sentimen apabila bulls menguasai pasaran. Persilangan ini boleh dilihat apabila MA jangka sederhana (MA 50-hari) menembusi ke atas MA jangka panjang (MA 200-hari).

Golden cross graphic

“Death Cross” adalah kejadian lain yang menandakan pergeseran besar dalam sentimen apabila bears menguasai pasaran. Persilangan ini boleh dilihat apabila MA jangka sederhana (MA 50-hari) bergerak ke bawah MA jangka panjang (MA 200-hari).

death cross graphic

Sebaik sahaja purata 200-hari ditembusi, ia akan bertindak sebagai paras rintangan utama (dalam keadaan Death Cross) dan sebagai paras sokongan utama (dalam keadaan Golden Cross). Pergerakan harga sering kali terperangkap antara MA jangka sederhana dan jangka panjang, dan ini memberikan peluang yang baik dalam perdagangan swing.

Persilangan MA sering digunakan sebagai alat pengesahan dalam pelbagai strategi perdagangan. Tetapi sekali lagi, kita harus perhatikan bahawa MA adalah indikator trend dan mencerminkan momentum berarah. Semua MA cenderung untuk kurang berkesan dalam julat perdagangan berterusan kerana purata harga akhirnya bertumpu pada satu paras harga. Dalam tempoh apabila pergerakan harga sangat tipis (hampir kelihatan seperti garis mendatar), MA cenderung memberi sedikit atau tiada langsung petunjuk tentang arah harga.

Envelope Purata Bergerak

Envelope mewakili dua sempadan yang diplot pada jarak tertentu di atas dan di bawah purata bergerak. Jika harga menyimpang terlalu jauh dari purata bergerak dan menyentuh salah satu daripada dua sempadan itu, ini biasanya menandakan pergerakan pasaran telah terlebih lanjutan (overextended). Lonjakan sebegini boleh mencetuskan pembetulan harga kerana pergerakan harga yang terlalu jauh selalunya tidak mampan.

MA jangka pendek (contohnya MA 20-hari) biasanya dikelilingi oleh envelope 3% atau lebih kecil. MA jangka sederhana dan panjang biasanya dikelilingi oleh envelope 5% atau lebih besar.

Moving Average Envelopes

Indeks Kekuatan Relatif (Relative Strength Index – RSI)

RSI ialah osilator yang memaparkan keadaan terlebih beli atau terlebih jual dalam pasaran kerana ia membandingkan skala keuntungan terkini sesuatu instrumen perdagangan dengan kerugian terkini.

RSI boleh digunakan untuk menghasilkan isyarat masuk dan keluar dengan mengenal pasti kemungkinan berakhirnya suatu trend atau permulaan trend baharu. Osilator ini menimbang momentum naik berbanding momentum penurunan sesuatu instrumen dalam tempoh masa tertentu (secara lalai 14 tempoh). Atau, ia memaparkan sama ada instrumen telah bergerak ke tahap yang tinggi atau rendah yang tidak mampan.

market illustration

RSI bergerak dalam julat 1 hingga 100, manakala paras 50.0 adalah titik penting yang membezakan trend bull daripada trend bear. Dua paras lain yang perlu diberi perhatian termasuklah 30.0 dan 70.0. Bacaan RSI di bawah paras 30.0 menunjukkan keadaan terlebih jual, manakala bacaan di atas paras 70.0 menunjukkan keadaan terlebih beli. Kedua-dua paras ini tidak semestinya tetap dan boleh diubah secara manual pada bila-bila masa mengikut strategi pedagang.

Jika bacaan RSI berada di atas paras 50.0, ia menunjukkan terdapat lebih ramai pembeli berbanding penjual, membawa kepada pergerakan harga menaik. Jika bacaan RSI bergerak di bawah paras 50.0, ini menunjukkan terdapat lebih ramai penjual berbanding pembeli, membawa kepada pergerakan harga menurun.

RSI harus digunakan sebagai alat pengesahan trend. Sekiranya anda telah membuat kesimpulan bahawa trend baharu mungkin terbentuk, periksa bacaan RSI supaya anda lebih yakin terhadap situasi pasaran semasa. Jika anda percaya trend menaik sedang terbentuk, bacaan RSI di atas 50.0 akan memberikan pengesahan mengenainya.

Relative Strength Index (RSI) graphic 1

Namun, pedagang biasanya akan memberi perhatian khusus apabila RSI menghampiri zon terlebih beli dan terlebih jual. Keadaan terlebih beli menunjukkan kebarangkalian tinggi bahawa tiada pembeli yang mencukupi dalam pasaran untuk mendorong harga naik lebih tinggi. Akibatnya, pergerakan ke atas akan terhenti. Keadaan terlebih jual menunjukkan kebarangkalian tinggi bahawa tiada penjual yang mencukupi dalam pasaran untuk mendorong harga turun lebih rendah. Akibatnya, pergerakan ke bawah akan terhenti.

Relative Strength Index (RSI) graphic 2

Apabila RSI mencapai kawasan terlebih jual (30), terdapat kemungkinan tinggi yang pergerakan harga menurun akan menjadi perlahan dan mungkin berbalik ke arah menaik.

Relative Strength Index (RSI) graphic 3

Kita boleh katakan paras terlebih beli/terlebih jual cenderung bertindak sebagai kawasan sokongan/rintangan.

Indikator Teknikal Sisihan Piawai

Indikator Sisihan Piawai mencerminkan sejauh mana pergerakan harga terkini dalam sesuatu instrumen perdagangan dan ia digunakan untuk meramalkan volatiliti harga pada masa hadapan. Bacaan sisihan piawai yang terlalu tinggi menunjukkan instrumen perdagangan baru-baru ini mengalami pergerakan ketara, tetapi volatiliti mungkin akan berkurang tidak lama lagi. Bacaan sisihan piawai yang terlalu rendah pula menunjukkan sebaliknya.

Indikator ini sebenarnya mencerminkan saiz sisihan harga daripada purata bergerak. Sekiranya sisihan piawai nampak sangat rendah, atau pasaran menunjukkan aktiviti yang lembap, pedagang boleh menjangka lonjakan aktiviti akan berlaku tidak lama lagi. Dan, jika sisihan piawai nampak sangat tinggi, pedagang boleh menjangka aktiviti pasaran akan menurun tidak lama lagi.

Standard Deviation Technical Indicator graphic

Kebiasaannya, indikator sisihan piawai digunakan oleh pedagang untuk meramalkan pembalikan harga berdasarkan “kembali ke purata”. Prinsip ini mengandaikan setiap penyimpangan dari purata harus diikuti oleh pergerakan kembali ke paras yang sama supaya taburan harga keseluruhan sepadan dengan taburan piawai.

Indikator ini cenderung menjadi pilihan yang baik untuk penganalisis teknikal dalam persekitaran pasaran yang sedang mengekalkan trend, di mana volatiliti sederhana diperhatikan dan osilasi harga berkumpul di sekitar titik tengah julat.

Pertimbangkan satu contoh ringkas. Sekiranya pasangan EUR/USD didagangkan dalam julat 1.1000-1.2000 untuk tempoh yang panjang dan majoriti pergerakan tertumpu di tengah julat itu, anda boleh membuka perdagangan dengan mengandaikan harga akan kembali ke purata berdasarkan taburan piawai.

Tetapi jika berlaku senario yang bertentangan – pergerakan harga tertumpu berhampiran hujung julat 1.1000-1.2000 (katakan antara 1.1000-1.1100, atau antara 1.1900-1.2000), maka besar kemungkinan taburan harga bukan taburan piawai. Oleh itu, indikator sisihan piawai mungkin bukan pilihan yang sesuai untuk dijadikan asas dalam membuat keputusan perdagangan.

Moving Average Convergence Divergence (MACD)

MACD adalah indikator yang membantu pedagang menentukan arah harga, kemungkinan pembalikan trend, dan kekuatan pergerakan tertentu. MACD mencerminkan beza antara EMA 12-tempoh dan EMA 26-tempoh bagi sesuatu instrumen perdagangan. Kedua-dua EMA dikira menggunakan harga tutup bagi tempoh masing-masing. EMA ketiga, iaitu EMA 9-tempoh juga akan divisualisasikan dan tujuannya adalah untuk memberi isyarat kemasukan pasaran long (beli) dan short (jual).

Isyarat beli terhasil apabila MACD bergerak di atas EMA 9-tempoh. Isyarat jual terhasil apabila MACD bergerak di bawah EMA 9-tempoh.

Moving Average Convergence Divergence (MACD) graphic

Histogram MACD memaparkan perbezaan antara MACD dan EMA 9-tempoh dengan paling baik. Histogram akan kekal positif apabila MACD berada di atas EMA 9-tempoh. Dan sebaliknya, histogram akan kekal negatif apabila MACD berada di bawah EMA 9-tempoh.

Semasa trend menaik, histogram akan mengembang jika kadar pergerakan harga semakin cepat dan ia akan mengecut jika kadar pergerakan harga perlahan. Semasa trend menurun, prinsip yang sama berlaku secara bertentangan. Dalam erti kata lain, ramai pedagang menggunakan MACD untuk menilai momentum.

Pedagang lain mungkin menggunakan histogram MACD untuk mengesan kejadian yang dikenali sebagai divergensi. Mereka akan meneliti carta untuk mencari titik di mana harga mencatat harga swing tinggi baharu (atau swing rendah baharu), tetapi histogram MACD tidak. Dalam erti kata lain, ia menandakan terdapat divergensi (perbezaan) antara harga dan momentum.

Jalur Bollinger

Jalur Bollinger tergolong dalam kumpulan indikator osilasi yang mengukur volatiliti pasaran. Pedagang menggunakan Jalur Bollinger untuk meramalkan jika harga sesuatu aset mungkin berbalik selepas mencapai paras yang agak rendah atau tinggi berbanding harga purata terkini. Jalur Bollinger terdiri daripada elemen berikut:

  • jalur atas yang menunjukkan jika instrumen telah berada dalam keadaan terlebih beli;
  • jalur bawah yang menandakan jika instrumen telah berada dalam keadaan terlebih jual;
  • jalur tengah yang biasanya merupakan Purata Bergerak Mudah 20-tempoh bagi instrumen tersebut.

Apabila harga menghampiri jalur atas, instrumen perdagangan menjadi terlebih beli, kerana ia dinilai agak tinggi berbanding purata terkininya. Isyarat bearish dihasilkan dan harga dijangka kembali ke purata bergerak. Oleh itu, pedagang biasanya akan keluar dari posisi beli dan membuka posisi jual.

Bollinger Bands graphic 1

Apabila harga menghampiri jalur bawah, instrumen perdagangan menjadi terlebih jual, kerana ia dinilai agak rendah berbanding purata terkininya. Isyarat bullish dihasilkan dan harga dijangka melantun semula dan kembali ke purata bergerak. Oleh itu, pedagang biasanya akan keluar dari posisi jual dan membuka posisi beli.

Bollinger Bands graphic 2

Namun, pedagang tidak seharusnya membuat pesanan hanya berdasarkan Jalur Bollinger yang menandakan terlebih beli atau terlebih jual. Jika harga telah mencapai jalur bawah atau jalur atas, itu tidak semestinya bermaksud pembalikan akan berlaku. Ia memerlukan pengesahan lanjut dengan meneliti corak lilin atau menggunakan beberapa indikator teknikal lain.

Kadangkala, jarak antara jalur akan mengecil. Kejadian ini dikenali sebagai “Bollinger squeeze” dan ia sering menandakan breakout akan berlaku. Sekiranya harga menembusi jalur atas, pergerakan menaik berkemungkinan akan berterusan. Sekiranya harga menembusi jalur bawah, pergerakan menurun berkemungkinan akan berterusan.

Carta di bawah menunjukkan “Bollinger squeeze”, diikuti oleh breakout ke arah menaik.

Bollinger Bands graphic 3

Double top, double bottom

Double top ialah corak pembalikan bearish berbentuk M yang terbentuk selepas pasaran bergerak dalam trend menaik. Ia memberi peluang kepada pedagang untuk mengambil posisi short (jual). Pergerakan harga akan mencapai dua puncak yang dipisahkan oleh satu lembah (trough). Satu “neckline” juga akan terbentuk di bahagian bawah pembentukan Double Top tersebut.

Double top sebenar akan mempunyai ciri-ciri utama berikut:

  • harga awal akan memasuki corak dari bawah paras lembah, manakala keluar akan berlaku apabila harga menembusi ke bawah neckline;
  • kedua-dua puncak biasanya akan sama paras atau dalam lingkungan 5% antara satu sama lain;
  • pembentukan akan disahkan apabila pasaran ditutup di bawah paras rendah bahagian bawah;
  • pembentukan akan gagal apabila pasaran ditutup di atas puncak kedua;
  • corak akan terbentuk dalam tempoh 2 hingga 7 minggu. Semakin panjang tempoh pembentukan, semakin kurang kebolehpercayaannya.

Double Top graphic

Double bottom ialah corak pembalikan bullish berbentuk W yang terbentuk selepas pasaran bergerak dalam trend menurun. Ia memberi peluang kepada pedagang untuk mengambil posisi long (beli). Pergerakan harga akan mencapai dua lembah (trough) yang dipisahkan oleh satu puncak. Satu “neckline” juga akan terbentuk di bahagian atas pembentukan Double Bottom tersebut.

Double bottom sebenar akan mempunyai ciri-ciri utama berikut:

  • harga awal akan memasuki corak dari atas paras puncak, manakala keluar akan berlaku apabila harga menembusi ke atas neckline;
  • kedua-dua lembah biasanya akan sama paras atau dalam lingkungan 5% antara satu sama lain;
  • pembentukan akan disahkan apabila pasaran ditutup di atas paras tinggi bahagian atas;
  • pembentukan akan gagal apabila pasaran ditutup di bawah lembah kedua;
  • corak akan terbentuk dalam tempoh 2 hingga 7 minggu. Semakin panjang tempoh pembentukan, semakin kurang kebolehpercayaannya.

Double Bottom graphic

Kepala dan bahu (Head and shoulders)

Corak harga ini biasanya muncul selepas trend bull dan jika disahkan, ia mencetuskan pembalikan trend. Terdapat corak lain yang dikenali sebagai Inverse Head and Shoulders (Kepala dan Bahu Terbalik) yang muncul selepas trend bear dan jika disahkan, menandakan penghujung pergerakan menurun.

Pembentukan Head and Shoulders mempunyai tiga paras tinggi (puncak) – bahu kiri, kepala, dan bahu kanan. Kepala biasanya merupakan puncak tertinggi, manakala kedua-dua bahu biasanya muncul dengan ketinggian yang hampir sama.

Apabila harga menaik, bahu kiri bagi corak masa depan akan terbentuk sebagai satu paras tinggi (yang sebenarnya merupakan puncak trend semasa).

Untuk membentuk bahu, harga kemudian perlu membuat pembetulan (retrace) dengan jatuh ke satu lembah (paras rendah). Paras rendah ini mungkin berada di atas atau tepat pada garis trend. Dalam kata lain, ia masih mengekalkan trend bull. Paras rendah ini merupakan titik pertama untuk menentukan kedudukan neckline corak tersebut.

Selepas itu, satu paras tinggi baharu yang lebih tinggi akan mula terbentuk, naik daripada lembah bahu kiri. Paras tinggi baharu itu ialah corak kepala. Selepas kepala terbentuk, harga kemudian membuat pembetulan semula dan ini biasanya merupakan titik di mana garis trend bull ditembusi – ini menandakan momentum telah berubah.

Lembah kedua yang terbentuk selepas harga turun dari puncak kepala ialah satu lagi titik yang penting untuk membentuk neckline.

Lantunan seterusnya dari lembah kedua akan membentuk paras tinggi ketiga (bahu kanan). Ia biasanya lebih rendah daripada paras tinggi kedua (kepala) dan hampir menyamai ketinggian bahu kiri.

Keseluruhan pembentukan ini biasanya akan disahkan apabila kejatuhan harga dari paras tinggi ketiga (bahu kanan) menembusi neckline dan sekurang-kurangnya satu lilin ditutup di bawahnya.

Neckline bagi corak ini sepatutnya mendatar, tetapi dalam kebanyakan kes ia akan condong ke atas atau ke bawah. Perlu diberi perhatian bahawa neckline yang condong ke bawah mungkin dianggap lebih bearish berbanding neckline yang condong ke atas.

Head and Shoulders graphic

Segitiga

Corak harga kadangkala mungkin mempunyai garis sempadan yang tidak selari. Jika garis itu dilanjutkan ke hadapan, ia akhirnya akan bersilang dan membentuk corak yang dikenali sebagai segitiga. Tiga jenis segitiga utama yang boleh dibezakan adalah – simetri, menaik, dan menurun.

Segitiga simetri adalah pembentukan yang mempunyai garis sempadan bawah dengan kecerunan menaik dan sempadan atas dengan kecerunan menurun, menjadikannya bergerak secara mendatar. Dalam pembentukan ini, harga merekodkan paras tinggi yang semakin rendah dan paras rendah yang lebih tinggi pada kadar yang hampir sama. Kedua-dua garis sempadan cenderung mempunyai sudut yang sama, tetapi arah yang berbeza. Pergerakan harga biasanya memenuhi kawasan segitiga dan harga perlu menyentuh setiap garis sempadan sekurang-kurangnya dua kali.

Segitiga simetri biasanya dianggap sebagai pembentukan kesinambungan trend yang menandakan hentian sementara atau pengukuhan, bukannya corak pembalikan. Dalam corak ini, bulls dan bears tidak dapat menguasai pasaran, sehingga pada suatu ketika kebanyakan pedagang mula sedar tentang arah tertentu. Apabila ini berlaku, breakout dari segitiga akan berlaku.

Kita dapat melihat segitiga simetri dengan breakout ke arah atas pada carta berikut.

Triangle graphic 1

Segitiga menaik adalah pembentukan yang mempunyai sempadan bawah dengan kecerunan menaik dan sempadan atas mendatar (garis rintangan). Dalam pembentukan ini, harga membentuk paras rendah yang lebih tinggi, manakala garis rintangan mengehadkan pergerakan harga sehingga berlaku breakout. Segitiga ini menunjukkan pembeli lebih kuat kerana harga membentuk paras rendah yang lebih tinggi. Sebaliknya, kekuatan penjual semakin berkurang. Walaupun penjual boleh menolak pembeli dari garis rintangan, setiap kali ia berlaku, tekanannya semakin lemah.

Penjual tidak berjaya menolak pembeli kembali ke paras rendah yang sama dan akhirnya tekanan beli meningkat apabila lebih ramai bulls menyertai pasaran. Akibatnya, harga mula menghampiri garis rintangan sehingga akhirnya ia menembusi ke atas. Dalam kebanyakan kes, breakout berlaku mengikut arah segitiga (breakout ke atas), tetapi ia juga masih boleh berlaku dalam arah bertentangan.

Pada carta di bawah, kita dapat melihat segitiga menaik dengan breakout berlaku ke arah bawah.

Triangle graphic 2

Segitiga menurun adalah pembentukan yang mempunyai garis sempadan atas dengan kecerunan menurun dan sempadan bawah yang mendatar (garis sokongan). Dalam pembentukan ini, harga membentuk paras tinggi yang lebih rendah, manakala garis sokongan mengehadkan pergerakan harga sehingga berlaku breakout. Segitiga ini menunjukkan bahawa bears (penjual) adalah kuat kerana harga terus membentuk paras tinggi yang lebih rendah. Sebaliknya, kekuatan bull (pembeli) semakin berkurang. Walaupun pembeli boleh menolak penjual naik dari garis sokongan, setiap kali itu berlaku, dorongannya semakin berkurang.

Pembeli tidak berjaya menolak penjual kembali ke paras tinggi yang sama dan akhirnya tekanan jual meningkat apabila lebih ramai bears membuka posisi. Akibatnya, harga mula menghampiri garis sokongan sehingga akhirnya ia menembusi ke bawah. Dalam kebanyakan kes, breakout adalah mengikut arah segitiga (breakout ke bawah), tetapi ia juga masih boleh berlaku dalam arah bertentangan.

Pada carta di bawah, kita dapat melihat segitiga menurun dengan breakout berlaku ke atas.

Triangle graphic 3

Bendera dan panji

Bendera dan panji mewakili corak kesinambungan jangka pendek yang kerap berlaku. Rupanya mungkin menyerupai wedges, segi empat tepat dan segitiga, tetapi saiznya biasa jauh lebih kecil.

Bendera ialah saluran harga pendek dengan kecerunan dalam arah bertentangan dengan trend sebelumnya (ia selalu didahului oleh pergerakan harga yang curam). Corak harga ini cenderung terbentuk dalam tempoh singkat (beberapa hari hingga beberapa minggu). Semasa bendera terbentuk, penurunan volum biasanya dapat diperhatikan.

flag 1

flag 2

Carta harian di bawah memaparkan corak bendera bullish.

bullish flag pattern

Panji sangat serupa dengan bendera, perbezaan utamanya adalah garis trend panji akan semakin bertemu dan membentuk segitiga kecil. Sama seperti bendera, cerun panji adalah bertentangan dengan arah trend sebelumnya. Semasa panji terbentuk, penurunan volum biasanya dapat diperhatikan, manakala apabila breakout berlaku selepas pembentukan corak, volum selalunya akan meningkat.

Pennants

bullish Pennant

Untuk mengenal pasti bendera dan panji, pedagang perlu mencari trend curam yang mendahului corak tersebut. Ramai pedagang memilih untuk menunggu pembentukan lengkap muncul sebelum membuat kemasukan posisi. Ini biasanya berlaku semasa penembusan selepas corak tersebut selesai. Breakout yang sah biasanya berlaku dalam arah yang sama dengan trend sebelumnya.

Pedagang mungkin membuka posisi long (beli) apabila harga menembusi garis trend atas (rintangan), manakala Stop-Loss boleh diletakkan di bawah garis trend bawah (sokongan). Pedagang boleh membuka posisi short (jual) apabila harga menembusi garis trend bawah (sokongan), manakala Stop-Loss boleh diletakkan di atas garis trend atas (rintangan).

Segi Empat Tepat

Pembentukan segi empat tepat akan muncul pada carta apabila harga bergerak di antara dua garis mendatar – garis atas sebagai rintangan dan garis bawah sebagai sokongan. Kedua-dua sempadan ini mestilah garis trend, atau harga mesti menyentuh kedua-duanya sekurang-kurangnya dua kali. Harga akan mengalami turun naik antara dua garis selari ini, dan pada satu ketika, breakout akan berlaku ke salah satu arah.

Harga mungkin tidak semestinya menyentuh kedua-dua garis selari dalam segi empat tepat. Sebaliknya, ia mungkin merekodkan “shortfalls”.

Rectangle graphic 1

“False breakout” sering kali berlaku dari segi empat tepat. Kejadian ini tidak memberikan petunjuk tentang arah breakout sebenar. False breakout ialah breakout kecil yang berlaku di bawah atau di atas paras breakout dan kemudian kembali ke dalam kawasan segi empat tepat. Ia akan berlaku dalam arah bertentangan dengan breakout sebenar.

Segi empat tepat boleh mencetuskan pembalikan harga, tetapi ia juga boleh menandakan kesinambungan trend. Sebagai corak pembalikan trend, ia akan kerap muncul di bahagian bawah. Sebagai corak kesinambungan trend, ia boleh menjadi segi empat tepat bullish atau bearish.

Segi empat tepat bullish terbentuk apabila harga bergerak dalam trend menaik sebelum corak muncul. Pengukuhan harga dapat diperhatikan di dalam segi empat tepat untuk tempoh tertentu, selepas itu trend bull akan bersambung.

Rectangle graphic 2

Segi empat tepat bearish terbentuk apabila harga bergerak dalam trend menurun sebelum corak muncul. Pengukuhan harga dapat diperhatikan di dalam segi empat tepat untuk tempoh tertentu, selepas itu trend bear akan bersambung.

Rectangle graphic 3

Kesimpulan

Keindahan analisis teknikal terletak pada kepelbagaian penggunaannya. Pedagang tidak memerlukan ijazah Ekonomi untuk mengkaji carta harga dengan cekap. Pasaran yang didagangkan juga boleh berbeza – Forex, Saham, Kripto, Komoditi, dan lain-lain. Prinsip-prinsip teknikal tentang trend, julat perdagangan, sokongan, rintangan, dan aspek lain dalam analisis teknikal boleh digunakan pada mana-mana carta. Namun, menggunakan analisis teknikal bukanlah satu pendekatan yang mudah dan jika seseorang ingin mencapai kejayaan, mereka perlu mempelajari pelbagai aspeknya, meluangkan masa untuk membangunkan strategi dan mengujinya. Perkara paling penting ada sentiasa berfikiran terbuka terhadap evolusi pasaran.

Ditulis oleh R. Perry | Diterjemahkan oleh Shakirah Manijal