Laman Utama » Panduan Perdagangan Bitcoin
Ditulis oleh Emmanuel Ifeanyi
Emmanuel Ifeanyi Ekwomadu ialah seorang penulis kandungan kewangan yang pakar dalam perdagangan Forex, Saham dan Kripto. Beliau merupakan individu di sebalik kebanyakan ulasan broker yang anda akan temui di BestBrokers.com
, | Diterjemahkan oleh Shakirah Manijal
Shakirah Manijal merupakan pakar kandungan yang berpengalaman dalam penterjemahan dan penyuntingan Bahasa Melayu, khususnya bagi ulasan broker dan kandungan berkaitan perdagangan.
, | Dikemas Kini:

Zaman ketika media arus perdana, komuniti pelabur, dan pengawal selia kewangan menganggap Bitcoin sebagai gurauan sudah berlalu. Dengan permodalan pasaran bernilai $1.84 trilion pada April 2025 (hanya beberapa saham yang bernilai sehingga 1 trilion USD), Bitcoin tidak lagi boleh dipandang ringan. Sifatnya yang turun naik — dengan pergerakan harga dua digit peratus dalam sehari — yang dahulu dianggap satu masalah, kini menjadi tarikan utama bagi pelabur dan media. Banyak kisah jutawan dan bilionair Bitcoin yang muncul secara mengejut turut menambah keterujaan ini.

Sebagai mata wang kripto pertama yang muncul di pasaran, Bitcoin menjadi lebih stabil berbanding mata wang kripto yang lebih baru seperti Dogecoin dan Shiba Inu. Namun begitu, ia masih mempunyai turun naik yang mencukupi untuk menarik pedagang harian dan pedagang swing yang suka keuntungan pantas.

Anda boleh menemui banyak maklumat mengenai Bitcoin dan pasaran kripto dalam talian. Tetapi, apa yang anda perlukan ialah panduan terperinci yang bertumpu pada aspek-aspek yang paling penting dalam perdagangan Bitcoin. Itulah yang kami sediakan untuk anda. Dalam panduan ini, anda akan belajar mengenali Bitcoin dan kaedah-kaedah berbeza untuk berdagang dengannya.

Apa itu Bitcoin?

Bitcoin ialah mata wang kripto — mata wang digital yang disulitkan melalui rangkaian blockchain rakan-ke-rakan (peer-to-peer) yang terdesentralisasi. Bahkan, ia adalah mata wang kripto yang pertama muncul. Ia boleh dihantar dari satu pengguna ke pengguna lain tanpa perantara, jadi ia tidak berada di bawah kuasa mana-mana bank pusat.

Bitcoin disimpan dalam dompet digital. Dompet ini terdiri daripada alamat awam yang digunakan oleh pemilik untuk menerima bitcoin, dan kunci peribadi yang bertindak sebagai kata laluan untuk mengakses dompet tersebut. Pengguna boleh menghantar bitcoin antara satu sama lain melalui alamat awam mereka, dan setiap transaksi disahkan di rangkaian blockchain oleh pelombong. Selain itu, pelombong diberi ganjaran dengan Bitcoin baharu apabila mereka mengesahkan transaksi di blockchain.

Bitcoin

Bitcoin didagangkan sebagai sekuriti dan boleh ditukar kepada mata wang fiat atau mata wang kripto lain di bursa kripto. Sebagai mata wang digital yang terdesentralisasi, nilainya berbanding mata wang fiat seperti USD atau JPY, bergantung pada permintaan dan bekalan, bukannya pada polisi bank pusat.

Menariknya, beberapa pedagang dalam talian kini menerima Bitcoin sebagai pembayaran untuk barangan dan perkhidmatan mereka. Walau bagaimanapun, kerana turun naik mata wang kripto yang tinggi, kerajaan di seluruh dunia masih enggan mengiktirafnya sebagai tender yang sah. Bitcoin juga menjadi subjek kritikan kerana penggunaannya dalam transaksi haram dan menggunakan elektrik yang tinggi.

Sejarah ringkas Bitcoin

Pada 31 Oktober 2008, kertas putih Bitcoin muncul dalam talian, ditulis oleh “Satoshi Nakamoto” — nama samaran yang digunakan oleh individu atau kumpulan pembangun yang mencipta Bitcoin. Pada Januari 2009, kod sumber Bitcoin dikongsi secara terbuka, membolehkan pengguna menjalankan nod, melombong, dan menghantar bitcoin secara bebas.

Pembangun perisian bernama Hal Finney, iaitu individu yang mencipta sistem proof of work boleh guna semula pertama pada tahun 2004, telah menjadi orang pertama menerima Bitcoin. Dia memuat turun perisian Bitcoin pada hari ia dikeluarkan dan menerima 10 bitcoin daripada Satoshi Nakamoto pada 12 Januari 2009. Walau bagaimanapun, penggunaan komersial Bitcoin yang diketahui berlaku pertama kali pada tahun 2010 apabila pengatur cara bernama Laszlo Hanyecz membayar ₿10,000 untuk dua piza Papa John’s.

Pada awal tahun 2011, Bitcoin didagangkan pada harga $0.30 seunit tetapi kemudian meningkat kepada $5.27 seunit. Menjelang bulan Jun pada tahun yang sama, Bitcoin didagangkan sekitar $31.50. Namun, ia menurun kepada $4.77 beberapa bulan kemudian.

Bitcoin Foundation ditubuhkan pada tahun 2012 untuk menggalakkan penambahbaikan Bitcoin dan penerimaannya. Bitcoin telah mengalami tahap turun naik yang melampau sejak pelancarannya. Sesetengahnya bertepatan dengan tindakan keras dan kritikan kerajaan, manakala yang lain dicetuskan oleh komen tokoh pengaruh media sosial.

Bitcoin history

Menjelang tahun 2017, bilangan dompet kripto yang digunakan melebihi 5.8 juta, dan kebanyakan daripadanya adalah dompet Bitcoin. Salah satu peristiwa penting pada tahun itu ialah pengenalan SegWit (Segregated Witness) pada bulan Ogos, iaitu satu naik taraf perisian yang bertujuan untuk menyokong dan meningkatkan skala Rangkaian Lightning. Tidak semua orang berpuas hati dengan naik taraf ini, terutamanya penyokong blok besar. Ini membawa kepada hard fork perisian yang mencipta Bitcoin Cash dan Bitcoin Gold.

Bitcoin meningkat kepada paras tertinggi sepanjang masa pada $19,783.06 pada Disember 2017, tetapi disebabkan China mengharamkan penggunaannya, harga merosot dengan ketara pada tahun 2018 dan 2019.

Tahun 2020 adalah tahun yang baik untuk Bitcoin kerana sekatan Covid-19 menyebabkan ramai pelabur institusi beralih perhatian kepada mata wang kripto. MicroStrategy membeli bitcoin bernilai kira-kira $250 juta sebagai aset rizab perbendaharaan dan lindung nilai terhadap inflasi, manakala Massachusetts Mutual Life Insurance Company mengumumkan pelaburan kira-kira $100 juta. Selain itu, Block, Inc. (sebelumnya Square, Inc.) melabur 1% daripada jumlah asetnya ($50 juta) dalam Bitcoin, manakala PayPal menambah Bitcoin dalam perkhidmatannya untuk pengguna AS.

Semua peristiwa ini mencetuskan kenaikan besar-besaran Bitcoin pada penghujung tahun 2020. Menjelang akhir November pada tahun yang sama, Bitcoin telah mengatasi paras tertingginya semasa Disember 2017. Pada January 2021, ciapan Elon Musk mendorong harga Bitcoin melepasi $37,000. Apabila Tesla membuat pengumuman pada 8 Februari 2021 yang ia telah membeli Bitcoin bernilai $1.5 bilion dan merancang untuk menerima Bitcoin sebagai pembayaran untuk kenderaannya, harga mata wang kripto itu melonjak kepada paras tertinggi pada ketika itu melebihi $64,000. Walau bagaimanapun, pada 12 Mei 2021, Tesla menarik balik keputusannya kerana bimbang dengan perlombongan Bitcoin yang menyumbang kepada pelepasan karbon dan perubahan iklim. Ini mencetuskan kejatuhan mendalam dalam harga Bitcoin.

Pada Jun 2021, badan perundangan El Salvador mengundi untuk menjadikan Bitcoin sebagai tender sah, dan undang-undang itu ditandatangani pada 7 September. Satu lagi peristiwa penting pada bulan Jun ialah kelulusan naik taraf perisian rangkaian Taproot yang dipasang pada bulan November.

Pada Oktober 2021, US SEC telah meluluskan ProShares Bitcoin Strategy ETF, dana perdagangan bursa (ETF) yang diselesaikan secara tunai untuk niaga hadapan, sebagai ETF Bitcoin pertama di AS. ETF itu naik 5% semasa hari pedagangan pertamanya pada 19 OKtober 2021. Pada Mei 2022, blockchain pesaing, iaitu Terra dan syiling asalnya LUNA mengalami kejatuhan mendadak yang mencetuskan panik dalam pasaran. Akibatnya, harga Bitcoin menjunam sebanyak 60% dari paras kemuncaknya pada November 2021, merosot kepada $26,000.

Walaupun diuji, Bitcoin berjaya pulih dalam tahun-tahun berikutnya. Mata wang kripto pertama di dunia baru-baru ini telah meraikan satu lagi pencapaian selepas SEC meluluskan ETF spot BTC pertama pada awal Januari 2024. Dua bulan kemudian, Bitcoin meningkat kepada harga tertinggi setakat ini, melepasi $73,000 pada Mac 2024.

Halving Bitcoin kali keempat yang dinanti-nantikan berlaku pada April 2024, sekali gus mengurangkan ganjaran untuk pelombong. Kesan berterusan daripada ETF Bitcoin spot yang diluluskan awal tahun itu mempengaruhi dinamik pasaran, menyumbang kepada turun naik harga dan kenaikan yang menyaksikan harga Bitcoin melebihi $90,000 pada April 2025. Kejayaan ETF ini mencetuskan perbincangan dan permohonan untuk dana berasaskan mata wang kripto lain, menandakan potensi evolusi dalam produk pelaburan kripto yang terkawal.

Kegunaan Bitcoin

Bitcoin ialah mata wang maya yang tidak dikawal oleh mana-mana pihak berkuasa pusat. Fakta itu sahaja menjadikannya sangat berguna seperti yang anda akan ketahui sebentar lagi.

Walaupun terdapat banyak kegunaan Bitcoin, antara yang paling popular adalah seperti berikut:


exchangeSebagai medium perantara – Orang ramai menggunakan Bitcoin untuk membeli barangan dan perkhidmatan dari peniaga dalam talian yang menerimanya sebagai bentuk pembayaran. Bilangan peniaga sedemikian semakin bertambah dari hari ke hari. Malah, kebanyakan pengguna menganggapnya sebagai mata wang yang boleh digunakan untuk membayar apa-apa produk, termasuk karya fizikal dan maya. Walau bagaimanapun, meskipun penggunaan Bitcoin sebagai medium pertukaran semakin popular di kalangan orang ramai, hanya El Salvador yang menerimanya sebagai tender sah.


securitySekuriti boleh dagang – Bagi kebanyakan orang, termasuk pengawal selia kewangan seperti US SEC, Bitcoin adalah sekuriti yang boleh didagangkan. Ini bermakna orang boleh membelinya dan menjualnya untuk tujuan spekulatif. Seperti semua sekuriti yang boleh didagangkan, harga Bitcoin juga mengalami naik dan turun, jadi ia menawarkan peluang untuk spekulasi. Seperti yang dijangkakan, minat terhadap perdagangan Bitcoin semakin meningkat di kalangan pedagang dan pelabur sekuriti.


store of wealthTempat menyimpan kekayaan – Ramai pelabur melihat Bitcoin sebagai tempat menyimpan kekayaan dan alternatif yang berbaloi kepada emas. Oleh itu, mereka menggunakannya sebagai lindung nilai terhadap inflasi. Ada juga yang menggunakannya untuk menyembunyikan aset daripada pasangan atau kerajaan. Bitcoin juga memudahkan pemindahan aset merentas sempadan.


Saiz pasaran Bitcoin

Menurut TradingView, pasaran kripto bernilai $2.85 trilion pada masa penerbitan dan Bitcoin menyumbang hampir separuh daripada jumlah yang mengagumkan ini. Bahagian pasaran Bitcoin telah meningkat lebih 15 mata peratusan sejak April 2024 apabila ia berada di sekitar 48%, selari dengan peningkatan minat pelabur terhadap mata wang kripto. Selain itu, minat terhadap token, Non-Fungible Tokens (NFT), Kewangan Terdesentralisasi (DeFi), dan permainan juga didapati meningkat.

Harga Bitcoin mencapai paras tertinggi sepanjang masa pada April 2025 apabila harganya melebihi $94,000. Ketika ini, ia didagangkan sekitar $93,017 dan dengan kira-kira 19.86 juta bitcoin dalam edaran, permodalan pasaran Bitcoin adalah kira-kira $1.84 trilion pada April 24, 2025 — nilai ini melebihi nilai pasaran beberapa gergasi teknologi AS seperti Meta (dahulunya dikenali sebagai Facebook) dan Tesla.

market capitalization

Data sepanjang masa untuk permodalan pasaran Bitcoin. Sumber: YCharts.com

Dominasi pasaran Bitcoin berada sekitar 64.41% pada masa penulisan panduan ini, menurut data yang diambil dari TradingView.

Cara menyertai pasaran Bitcoin

Pada asasnya, terdapat dua cara utama untuk mendapat pendedahan kepada pasaran Bitcoin:

  • Melabur dalam Bitcoin
  • Berdagang Bitcoin atau mana-mana produk derivatifnya

Apa itu pelaburan Bitcoin?

Pelaburan Bitcoin yang juga dikenali sebagai HODLing (Holding on for Dear Life), merujuk kepada pembelian Bitcoin dan menyimpannya dalam jangka masa yang panjang untuk mendapat manfaat daripada kenaikan harga yang besar dalam jangka masa panjang. Ini berbeza daripada perdagangan Bitcoin, di mana matlamatnya adalah mendapat keuntungan daripada pergerakan harga jangka pendek.

Seperti melabur dalam mana-mana aset lain, pelaburan Bitcoin memerlukan kesabaran dan kebolehan untuk mengabaikan pergerakan harga jangka pendek. Pelabur membeli dengan harapan harga akan meningkat dari masa ke masa, tetapi biasanya, harga boleh turun untuk beberapa ketika sebelum ia meningkat kembali. Turun naik Bitcoin boleh menjadi sangat besar — ia bukan perkara luar biasa untuk harganya turun 50% atau lebih. Malah, perkara ini pernah berlaku pada Mei 2022 apabila Bitcoin kehilangan lebih 60% nilainya berbanding November 2021.

Memandangkan harga Bitcoin cenderung meningkat dari masa ke masa walaupun mengalami banyak kenaikan dan kejatuhan, pelabur Bitcoin berusaha mengumpul keuntungan dengan membeli dan menyimpan aset ini untuk jangka masa panjang tanpa menghiraukan apa yang berlaku dalam jangka masa pendek. Mereka percaya institusi kewangan arus perdana akhirnya akan menerima Bitcoin dan menjadi tender sah.

Bitcoin investing

Pelabur Bitcoin yang berpengalaman menggunakan banyak teknik untuk mengurangkan kesan turun naik dalam pegangan mereka. Sesetengahnya mengamalkan teknik yang dikenali sebagai dollar-cost averaging (DCA) — mereka melabur jumlah wang tertentu pada setiap minggu atau bulan, tanpa mengira harga naik atau turun. Harga masuk sebenar mereka menjadi purata daripada pelbagai harga pembelian yang dibuat dari semasa ke semasa. Pendekatan lain adalah membeli ketika harga jatuh (buying the dips). Pelabur yang mengikut pendekatan ini menambah pegangan mereka pada setiap kali harga Bitcoin menurun pada peratusan tertentu — katakan 30% atau 50%. Ramai yang telah memperoleh keuntungan dengan mengikut teknik-teknik ini.

Malangnya, sesetengah pelabur naif melihat Bitcoin sebagai alat untuk cepat kaya. Namun, melainkan seseorang itu sangat bernasib baik, menjana wang daripada pelaburan Bitcoin adalah satu usaha jangka panjang. Ia sama seperti melabur dalam saham atau aset lain; tiada jaminan, inilah sebabnya sangat disarankan untuk melabur menggunakan wang lebihan (wang yang tidak digunakan untuk keperluan peribadi atau membayar bil).

Kelebihan dan Kekurangan pelaburan Bitcoin

Terdapat banyak kelebihan menyertai pasaran Bitcoin. Apabila dirancang dengan baik dan dilakukan dengan berhati-hati, ia boleh memberi pulangan yang tinggi. Berbanding perdagangan jangka pendek, HODLing menawarkan faedah-faedah berikut:

Kelebihan Utama

  • Ia adalah cara yang mudah untuk membina kekayaan dalam jangka masa panjang
  • Sedikit atau tiada kemahiran perdagangan diperlukan - anda tidak perlu tahu bila masa terbaik untuk masuk atau keluar pasaran (jika itu benar-benar boleh dilakukan)
  • Ia memerlukan masa skrin yang lebih singkat - anda tidak perlu terus menganalisis carta harga
  • Anda tidak terganggu dengan turun naik harga jangka pendek dan kurang terlibat secara emosi
  • Ia mungkin lebih menguntungkan dalam jangka masa panjang
  • Anda mempunyai masa yang cukup untuk memberi tumpuan pada pekerjaan atau perniagaan anda
  • Kos perdagangan dan komisen yang lebih rendah
  • Cukai keuntungan modal yang lebih rendah atau tiada langsung

Kekurangan Utama

  • Ia tidak sesuai untuk mereka yang tidak sabar atau mempunyai toleransi risiko yang rendah
  • Bitcoin mungkin akan menjadi tidak bernilai dan anda kehilangan modal perdagangan anda

Apa itu perdagangan Bitcoin?

Walaupun pelaburan mungkin sesuai untuk sesetengah orang, ia mungkin tidak sesuai bagi mereka yang mempunyai selera besar untuk keuntungan yang pantas dan menyukai keseronokan serta ketegangan yang datang daripada pergerakan harga jangka pendek. Bagi orang sebegini, perdagangan jangka pendek adalah satu-satunya cara untuk merasai denyut nadi pasaran.

Perdagangan Bitcoin merujuk kepada proses membeli dan menjual syiling secara kerap untuk mendapat keuntungan daripada pergerakan harga jangka pendek. Secara umumnya, perdagangan adalah aktiviti berkelajuan tinggi, tetapi dengan tahap turun naik Bitcoin, ia jadi lebih pantas dan lebih mendebarkan. Harga boleh berubah dengan peratusan dua digit dalam masa sehari, dan pasaran tidak pernah tidur. Bitcoin didagangkan sepanjang masa — 24 jam sehari dan 7 hari seminggu — di bursa kripto di seluruh dunia. Jadi, bagi peniaga ultra-jangka pendek (scalper dan pedagang harian), hampir tiada masa yang membosankan.

Objektif setiap pedagang Bitcoin adalah membeli apabila harga rendah dan menjual apabila harga tinggi. Untuk menjelaskannya, apabila pedagang membeli Bitcoin pada harga lebih rendah, ia bermakna mereka membayar jumlah mata wang fiat (dolar, euro, atau pound) yang rendah untuk jumlah Bitcoin tertentu. Kemudian, apabila mereka menjual pada harga yang tinggi, mereka akan menerima lebih banyak mata wang fiat. Contohnya, katakan pedagang membeli 10 bitcoin pada harga $92,700 seunit, jadi mereka membayar keseluruhan $927,000 untuk transaksi itu. Kemudian pada hari yang sama atau keesokan hari, harga naik kepada $93,400 seunit. Jika pedagang menjual semua bitcoin pada harga itu, mereka akan mendapat $934,000, sekaligus memperoleh keuntungan bersih $7,000 ($934,000 – $927,000 = $7,000).

Bitcoin trading

Seperti mana-mana sekuriti yang boleh didagangkan, pergerakan harga Bitcoin boleh menjadi tidak menentu (random walk) dan sukar diramal. Walaupun ramai percaya Bitcoin lebih mudah didagangkan berbanding sekuriti lain, pedagang akan mendapati masa untuk masuk ke pasaran adalah sukar — pelaburan (HODLing) kelihatan lebih baik kerana ia hampir mustahil untuk menemui pedagang yang mampu mengatasi prestasi HODLer dalam tempoh 16 tahun kewujudan Bitcoin.

Walaupun pergerakan harganya tidak menentu, ada satu perkara yang jelas: Bitcoin sangat sensitif kepada berita dan sentimen media sosial. Untuk berpeluang menentukan masa pasaran, pedagang perlu mengikut berita, peristiwa pasaran, dan trend media sosial.

Kebanyakan bursa kripto membenarkan perdagangan spot dan derivatif Bitcoin seperti niaga hadapan dan opsyen Bitcoin. Mereka yang berdagang di pasaran spot tidak boleh menggunakan leveraj, tetapi mereka yang berdagang derivatif boleh menggunakannya. Perdagangan berleveraj merujuk kepada membuka posisi yang lebih besar dalam Bitcoin dengan pelaburan awal yang lebih kecil. Disebabkan turun naik Bitcoin, pedagang yang menggunakan leveraj berdepan dengan risiko yang jauh lebih tinggi berbanding pelabur.

Kelebihan utama

  • Potensi untuk membuat keuntungan dengan cepat
  • Keupayaan untuk berdagang niaga hadapan dan opsyen Bitcoin dengan leveraj untuk meningkatkan keuntungan. Ingat, leveraj juga boleh menggandakan kerugian.
  • Tidak memerlukan modal besar untuk bermula
  • Keupayaan untuk membuat jualan singkat (short selling) (niaga hadapan dan opsyen Bitcoin)
  • Anda boleh berdagang pada bila-bila masa — pasaran tidak ditutup

Kekurangan utama

  • Menentukan masa pasaran adalah hampir mustahil
  • Turun naik boleh menyebabkan anda kehilangan lebih banyak wang, terutamanya jika berdagang menggunakan leveraj
  • Keuntungan dikenakan cukai sebagai keuntungan modal jangka pendek

Perdagangan lwn pelaburan Bitcoin: mana yang lebih baik?

Perdagangan lwn pelaburan sentiasa menjadi perdebatan hangat, dan ia juga sama apabila melibatkan Bitcoin. Walaupun ada sesetengah yang menyokong pelaburan, selebihnya pula sukakan perdagangan. Ia bergantung pada personaliti individu dan apa yang mereka mahukan. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Berikut adalah beberapa perbezaan antara perdagangan dan pelaburan:

PerdaganganPelaburan
Pendekatan jangka pendek hingga sederhanaPendekatan jangka panjang
Dipengaruhi oleh turun naik hargaTidak terlalu mengambil kira tentang turun naik harga
Memerlukan kurang kesabaranMemerlukan banyak kesabaran
Pemfailan cukai yang kerap disebabkan perdagangan frekuensi tinggiPemfailan cukai yang kurang kerap kerana aset dipegang untuk tempoh masa yang lama
Memerlukan modal yang lebih kecilMemerlukan modal yang besar
Pengetahuan teknikal diperlukanPengetahuan teknikal tidak diwajibkan

Jenis pasaran Bitcoin

Sama ada anda seorang pedagang atau pelabur, anda mesti menentukan jenis pasaran yang ingin disertai. Walaupun terdapat pasaran Bitcoin yang berbeza, pasaran yang paling popular ialah pasaran spot, diikuti oleh pasaran niaga hadapan (merangkumi niaga hadapan kekal dan suku tahunan), dan terakhir, pasaran opsyen.

Pasaran spot Bitcoin

Secara ringkasnya, pasaran spot Bitcoin didagangkan secara terus (on the spot) — anda melakukan perdagangan masa nyata dengan pengguna lain. Apabila anda berdagang di pasaran spot, Bitcoin yang anda beli terus dihantar ke dalam dompet anda. Pasaran spot menawarkan nilai sebenar Bitcoin yang anda bayar — tiada saiz leveraj atau harga strike.

bitcoin spot market

Carta pasaran spot Bitcoin. Sumber: Binance

Pasaran spot Bitcoin sangat cair, jadi pertukaran memadankan pesanan anda dengan serta-merta, dan perdagangan diselesaikan pada masa itu juga. Ini adalah bentuk asas perdagangan Bitcoin yang melibatkan pembelian terus syiling pada harga pasaran semasa. Bursa kripto bertindak sebagai perantara antara ahli pasaran, memadankan pesanan bida dan tawar mereka. Membeli mata wang kripto seperti Bitcoin secara terus menggunakan mata wang fiat juga merupakan satu pilihan.

Anda membeli Bitcoin pada harganya sekarang untuk mendapat keuntungan apabila nilainya meningkat. Jika harga aset meningkat, pegangan anda meningkat mengikut kenaikan aset, dan jika harga aset merosot, pegangan anda menurun mengikut jumlah aset hilang. Dalam perdagangan spot tradisional tanpa leveraj, anda tidak akan merealisasikan kerugian melainkan anda menjual, dan pegangan anda tidak akan terhapus melainkan Bitcoin kehilangan semua nilainya dan menjadi tidak bernilai.

Untuk menggambarkannya, mari gunakan contoh berikut. Katakan anda membuat pesanan had beli untuk 5 Bitcoin pada harga $91,000 seunit. Jika pasaran jatuh ke paras harga itu, pesanan anda akan dipenuhi, dan anda akan menerima serta memiliki 5 Bitcoin dalam dompet spot anda.

Nilai aset anda meningkat atau menurun selari dengan harga Bitcoin. Jika harga meningkat 2% kepada $92,900, nilai pegangan anda juga meningkat 2%. Sebaliknya, jika harga Bitcoin menurun 3.3% kepada $88,000, nilai pegangan anda juga akan merosot 3.3%, tetapi anda tidak akan mengalami kerugian 3.3% melainkan anda menjual semua syiling anda pada ketika itu. Jika anda mengekalkan Bitcoin, harga mungkin berbalik dan menampung semua kerugian serta memberi anda keuntungan. Selain itu, akaun anda tidak akan menerima panggilan margin atau dibubarkan — pegangan anda hanya boleh terhapus jika Bitcoin mengalami penurunan 100% (atau akaun anda digodam).

Perdagangan spot Bitcoin biasanya menggunakan aset sendiri, walaupun perdagangan margin dengan leveraj juga boleh dilakukan dalam beberapa kes. Walau bagaimanapun, kami perlu memberi amaran bahawa nisbah leveraj untuk pasaran spot biasanya lebih rendah dan anda mungkin dikenakan komisen yang lebih tinggi.

Ambil maklum juga yang kedua-dua pedagang dan pelabur menggunakan pasaran spot. Walaupun pedagang kerap membuka dan menutup banyak perdagangan untuk membuat keuntungan yang cepat, pelabur hanya mengumpul posisi dari semasa ke semasa. Perdagangan mungkin menguntungkan, tetapi kekerapan transaksi membawa kepada kos perdagangan yang lebih tinggi.

Ciri-ciri utama pasaran spot

  1. Perdagangan diselesaikan pada harga semasa, juga dikenali sebagai kadar spot atau harga spot.
  2. Aset dihantar serta-merta dan tidak ditangguhkan ke tarikh masa hadapan.
  3. Dana dipindahkan dengan serta-merta.
  4. Pedagang spot biasanya menggunakan aset mereka sendiri dan bukannya meminjam dana tambahan melalui leveraj, walaupun perdagangan spot menggunakan margin kadangkala ditawarkan.

Strategi untuk berdagang pasaran spot

Terdapat strategi berbeza untuk berdagang pasaran spot, tetapi tiada satu pun yang merupakan Holy Grail. Pasaran kripto penuh dengan ketidakpastian, dan pergerakan harga cenderung untuk tidak menentu dalam kebanyakan masa.

Namun demikian, berikut adalah dua pendekatan paling biasa yang boleh digunakan untuk berdagang Bitcoin di pasaran spot.

Membeli ketika harga jatuh

Ini merujuk kepada pembelian aset apabila harga mengalami penurunan yang ketara. Ia menawarkan cara memasuki pasaran pada harga yang lebih munasabah, berbanding membeli ketika pasaran sudah meningkat. Apabila dilaksanakan dengan betul, membeli ketika harga jatuh boleh menjadi strategi yang menguntungkan.

Buying the dip

Carta harian Bitcoin. Sumber: Binance

Kedua-dua pedagang dan pelabur menggunakan kaedah ini. Tetapi pedagang selalunya menggunakan banyak indikator untuk menentukan di mana dan bila penurunan harga akan berbalik supaya mendapat harga masuk yang lebih baik.

Jadi, bagaimana cara membeli ketika harga jatuh?

Pedagang baharu sering membuat kesilapan membeli setiap kali harga menurun. Walaupun tiada peraturan mutlak tentang masa terbaik untuk membeli ketika harga turun, berikut adalah beberapa panduan yang berguna:

Pertama, tentukan sama ada itu hanya hentian sementara pasaran atau pembalikan trend. Pasaran kadangkala bergerak mengikut corak — penurunan yang normal jarang sekali turun lebih rendah daripada penurunan sebelumnya, manakala pembalikan trend selalunya dikaitkan dengan paras rendah yang lebih rendah dan paras tinggi yang lebih rendah.

Anda boleh menggunakan indikator untuk menyokong analisis pasaran agar tidak membuat pembelian dalam pasaran bearish. Indikator seperti indeks kekuatan relatif (Relative Strength Index – RSI) boleh digunakan untuk mengenal pasti keadaan ekstrem (terlebih jual dan terlebih beli) dalam pasaran.

how do you buy the dip

Carta harian Bitcoin Sumber: Binance

how do you buy the dip 2

Carta harian Bitcoin. Sumber: Binance

Carta di atas adalah carta harian Bitcoin dengan indikator indeks kekuatan relatif. Bentuk elips pada harga dan indikator menunjukkan waktu harga Bitcoin turun dan bacaan indikator pada paras ekstrem. Sesetengah pedagang membeli ketika harga jatuh apabila RSI berada di bawah 30 (terlebih jual). Walau bagaimanapun, disebabkan indikator bergantung pada data lalu, anda mesti berhati-hati ketika menggunakannya.

Carta di bawah menunjukkan indikator Stokastik. Perhatikan bahawa penurunan harga sebelum ini berbalik selepas indikator stokastik memasuki zon terlebih jual. Penurunan harga semasa juga mungkin berbalik apabila indikator stokastik sekali lagi berada di zon terlebih jual.

how do you buy the dip - chart

TradingView: Carta harian yang menunjukkan stokastik

Kedua, anda boleh menggunakan garis trend atau purata bergerak untuk mendapatkan gambaran tentang trend sebelum menggunakan indikator momentum atau osilator untuk menjejak penurunan harga. Lihat carta di bawah.

how do you buy the dip - chart 2

Untuk penurunan harga yang berbilang peringkat, anda boleh menggunakan garis trend songsang (countertrend) untuk mengukur sekiranya harga benar-benar berbalik untuk meneruskan trend menaik. Dalam kes ini, harga akan melepasi garis trend songsang tersebut, seperti dalam carta di bawah (anak panah hitam).

how do you buy the dip - chart 3

Carta harian Bitcoin. Sumber: TradingView

Ketiga, perhatikan permulaan trend baharu. Selepas penurunan harga yang berpanjangan, ia mungkin satu pilihan bijak untuk menggunakan persilangan purata bergerak untuk menentukan waktu trend menaik yang baharu muncul. Dalam kes ini, anda mencari golden cross — iaitu apabila purata bergerak jangka pendek melintasi purata bergerak jangka panjang dari bawah ke atas. Lihat carta di bawah: purata bergerak tempoh 20 (garis hitam) telah melintasi purata bergerak tempoh 50 (garis biru). Perhatikan apabila ia berlaku dua kali (anak panah hitam), trend menaik disambung semula.

how do you buy the dip - chart 4

Menjual ketika harga melonjak (Selling the pump)

Setakat ini kita telah membincangkan strategi membeli ketika harga turun, tetapi apa yang berlaku selepas pembelian itu? Jika anda seorang pedagang jangka pendek, anda perlu mengambil keuntungan, atau lebih popular sebagai menjual ketika harga melonjak. Sama seperti membeli ketika harga turun, terdapat juga parameter atau syarat yang boleh digunakan oleh pedagang untuk mengambil keuntungan pada harga spot yang ideal. Dengan bantuan indikator, pedagang boleh mengenal pasti potensi fasa rehat atau pembalikan dalam pasaran dan menutup perdagangan mereka.

Apakah indikator yang boleh digunakan?

Terdapat beberapa indikator yang digunakan oleh pedagang untuk mengenal pasti kemungkinan puncak pasaran (market top) — walaupun ia tidak sempurna. Indikator yang popular termasuk purata bergerak, indeks kekuatan relatif (relative strength index – RSI), dan Bollinger Bands. Strategi bukan indikator lain yang boleh digunakan termasuk corak candlestick, corak carta, struktur pasaran, dan garis trend.

Perlu diingat bahawa menggunakan satu indikator sahaja mungkin tidak mencukupi – menggabungkan indikator (dua atau tiga) mungkin pilihan yang lebih baik. Pastikan indikator yang digunakan saling melengkapi.

Anda boleh menggunakan purata bergerak dan indikator indeks kekuatan relatif. Carta di bawah menunjukkan puncak pasaran dan titik-titik berpotensi untuk mengambil keuntungan.

what indicators to use - chart

Carta harian Bitcoin. Sumber: TradingView

Carta di atas menunjukkan dead cross purata bergerak di mana purata bergerak tempoh pendek (20) telah melintasi ke bawah purata bergerak tempoh panjang (50), menandakan potensi pembalikan harga dan kemungkinan pembentukan puncak pasaran. Di bawah carta harga ialah indikator stokastik-RSI yang menunjukkan pasaran terlebih beli (di atas 80). Dengan isyarat ini, adalah lebih bijak untuk menjual dan mengambil keuntungan jika anda seorang pedagang jangka pendek.

Strategi lain yang boleh digunakan untuk mengenal pasti potensi puncak pasaran ialah kemunculan corak candlestick, seperti bearish engulfing — iaitu candlestick bearish yang besar menelan candlestick bullish hari sebelumnya. Lihat carta di bawah.

what indicators to use - chart 2

Carta harian Bitcoin. Sumber: TradingView

Perhatikan yang dead cross purata bergerak belum berlaku apabila corak bearish engulfing muncul. Namun begitu, gabungan corak bearish engulfing (anak panah hitam) dan isyarat terlebih beli (elips) pada indikator stokastik-RSI sudah cukup untuk mengandaikan pembentukan puncak pasaran dan mengambil keuntungan.

Akhir sekali, Bollinger Bands sangat berguna untuk menentukan potensi puncak pasaran. Ia terdiri daripada dua jalur (atas dan bawah, masing-masing berada pada jarak 2 sisihan piawai dari min) dan satu garis tengah yang merupakan purata bergerak 20 tempoh yang menunjukkan min. Dua jalur ini akan mengembang dan mengecut mengikut turun naik pasaran. Apabila harga berulang kali menyentuh jalur atas, besar kemungkinan harga akan membuat pembetulan (retracement). Lihat carta di bawah.

what indicators to use - chart 3

Carta harian Bitcoin. Sumber: Binance

Seperti yang anda lihat, indikator boleh menjadi sangat membantu apabila berdagang pasaran spot Bitcoin. Dengan itu, mari kita lihat kelebihan dan kekurangan berdagang pasaran spot. Lihat jadual di bawah.

Kelebihan pasaran spotKekurangan pasaran spot
Terdapat ketelusan dalam harga; nilai pegangan anda meningkat atau menurun seiring dengan pergerakan harga aset.Menjadi tanggungjawab anda untuk menyimpan aset dalam dompet yang selamat bagi mengelakkan risiko kecurian dan penggodaman.
Mudah untuk didagangkan.Anda hanya boleh mengambil posisi panjang (beli), jadi anda mendapat keuntungan hanya apabila harga aset meningkat.
Tiada risiko pembubaran (liquidation).Anda tidak boleh mendapat manfaat daripada pasaran bear atau menggunakan leveraj melampau untuk meningkatkan keuntungan.
Anda tidak perlu risau tentang panggilan margin.Potensi keuntungan perdagangan spot lebih rendah berbanding niaga hadapan atau perdagangan margin.
Kurang berisiko berbanding pasaran niaga hadapan.Memerlukan modal yang besar untuk menghasilkan keuntungan yang ketara.

Jika anda ingin meningkatkan potensi keuntungan dan boleh mengendalikan risiko yang besar, anda mungkin ingin mempertimbangkan niaga hadapan Bitcoin yang akan diterangkan dalam bahagian seterusnya.

Pasaran niaga hadapan Bitcoin

Pasaran niaga hadapan membolehkan pedagang membuat pertaruhan atau spekulasi terhadap harga masa depan tanpa memiliki aset asas. Niaga hadapan Bitcoin ialah kontrak yang membolehkan pedagang berdagang Bitcoin tanpa memilikinya. Kontrak ini menjejak harga masa depan Bitcoin. Untuk kontrak niaga hadapan menjadi sah, dua atau lebih pihak perlu menyertainya — satu pihak mengambil posisi panjang (beli) dan satu lagi mengambil posisi pendek (jual).

Contohnya, Jim membuat pesanan untuk membeli (go long) 5 kontrak Bitcoin pada harga $93,000 setiap kontrak. Di pihak lain pasaran, Ted membuat pesanan untuk menjual (go short) 5 kontrak Bitcoin pada harga $93,000 setiap kontrak. Pasaran akan memadankan kedua-dua pesanan ini secara automatik, dan perdagangan pun berlaku. Jika harga Bitcoin bergerak ke arah $94,000 setiap kontrak, Jim akan memperoleh keuntungan $5,000 ([$94,000 – $93,000] x 5 kontrak). Ted pula akan rugi $5,000 kerana harga Bitcoin bergerak bertentangan dengan ramalannya.

Kelebihan pasaran niaga hadapan ialah pedagang tidak perlu mempunyai nilai muka kontrak untuk memulakan perdagangan; mereka hanya perlu mempunyai sebahagian kecil daripadanya (margin awal), dan bakinya akan dipinjamkan oleh pertukaran. Jadi, pedagang menggunakan sesuatu yang dipanggil leveraj. Dengan leveraj, pedagang boleh membuka posisi yang lebih besar daripada yang mampu ditampung oleh bajetnya; pertukaran meminjamkan wang untuk melengkapkan modal tersedia dan membuka posisi yang lebih besar. Ini berbeza dengan pasaran spot di mana pedagang perlu menyediakan nilai muka aset asas atau membeli nilai yang mampu ditampung oleh baki.

Leveraj adalah pedang bermata dua; pada satu sisi, ia boleh meningkatkan keuntungan anda dengan ketara jika keadaan pasaran memihak anda, tetapi ia juga boleh menggandakan kerugian anda jika pasaran bergerak menentang posisi anda.

Nisbah leveraj yang berlainan disediakan di bursa kripto. Setiap nisbah leveraj mempunyai keperluan margin awal (jumlah yang mesti ada dalam akaun anda untuk menggunakan leveraj tersebut) yang selalunya berlawanan dengan leveraj. Sebagai contoh, anda mungkin melihat nombor seperti 1:5, 1:10, 1:20 dan 1:100. Jadual di bawah menunjukkan maksudnya dari segi keperluan margin awal.

LeverajKeperluan Margin Awal
1:5Anda perlu mendepositkan 20% daripada nilai muka kontrak niaga hadapan.
1:10Anda perlu mendepositkan 10% daripada nilai muka kontrak niaga hadapan.
1:20Anda perlu mendepositkan 5% daripada nilai muka kontrak niaga hadapan.
1:50Anda perlu mendepositkan 2% daripada nilai muka kontrak niaga hadapan.
1:100Anda perlu mendepositkan 1% daripada nilai muka kontrak niaga hadapan.

Jenis kontrak niaga hadapan

Di Binance, yang setakat ini merupakan bursa mata wang kripto terbesar dengan jumlah perdagangan spot harian $17.06 bilion pada akhir April 2025, terdapat dua jenis kontrak niaga hadapan Bitcoin: niaga hadapan kekal (perpetual) dan kontrak niaga hadapan suku tahunan (quarterly).

Niaga hadapan kekal

Ini adalah kontrak niaga hadapan yang tidak mempunyai tarikh luput. Pedagang yang mempunyai posisi terbuka membayar yuran pembiayaan harian untuk mengekalkan kontrak niaga hadapan mereka ke hari perdagangan berikutnya. Kontrak ini menjejak pasaran fizikal dengan rapat, tetapi terdapat sedikit perbezaan harga antara kedua-dua pasaran ini.

Perpetual futures

Carta kontrak niaga hadapan kekal BTC. Sumber: Binance

Niaga hadapan suku tahunan

Ini adalah kontrak niaga hadapan yang tamat selepas 3 bulan. Di Binance, terdapat kontrak bulan Mac, Jun, September dan Disember. Setiap kontrak akan tamat tempoh secara suku tahunan pada hari Jumaat terakhir bulan luput. Pada hari tamat tempoh itu, mana-mana posisi terbuka yang dipegang oleh pedagang akan ditutup secara automatik dan diselesaikan sama ada dalam keadaan untung atau rugi.

Quarterly futures

Carta niaga hadapan suku tahunan BTC 1231. Sumber: Binance

Ciri-ciri utama niaga hadapan Bitcoin

Pasaran niaga hadapan membolehkan anda berdagang dalam apa jua arah yang anda mahu — panjang atau pendek. Go long (membeli) bermaksud menjangkakan harga aset akan naik, manakala go short adalah apabila anda menjangka harga aset akan susut.

Analisisnya sama seperti perdagangan spot. Sesetengah pedagang menggunakan indikator untuk menjana isyarat, manakala yang lain memberi tumpuan terutamanya pada tindakan harga (price action). Perkara utama ialah pedagang niaga hadapan menggunakan leveraj untuk meningkatkan saiz posisi dan potensi keuntungan, dan ini datang dengan masalah yang besar: perdagangan yang rugi boleh dibubarkan oleh pertukaran/bursa untuk melindungi dana yang dipinjamkan kepada pedagang.

Dengan kata lain, sementara perdagangan anda di pasaran spot tidak boleh dibubarkan kerana anda memiliki aset fizikal (Bitcoin), perdagangan di pasaran niaga hadapan boleh dibubarkan jika kerugian anda mencapai jumlah tertentu.

Jadual di bawah menunjukkan perbezaan utama antara pasaran spot dan niaga hadapan Bitcoin.

Pasaran spot

  • Nilai pegangan pedagang meningkat atau menaik seiring dengan pergerakan harga aset.
  • Pedagang memiliki aset sebenar dalam dompet mereka, jadi tiada rasa takut akan dibubarkan.
  • Pedagang membeli aset untuk dijual kemudian pada harga lebih tinggi, jadi mereka hanya mendapat manfaat daripada pasaran menaik (bull).
  • Pedagang memiliki aset sepenuhnya, jadi tiada panggilan margin.

Pasaran niaga hadapan

  • Keuntungan atau kerugian digandakan oleh leveraj yang digunakan.
  • Niaga hadapan bersifat spekulatif. Pedagang tidak memiliki aset, sehingga selepas (dan jika) ia diselesaikan secara fizikal pada tarikh luputnya.
  • Anda boleh berdagang dalam dua-dua arah — panjang atau pendek — dan mendapat keuntungan daripada pasaran menaik (bull) dan menurun (bear).
  • Pedagang membuat pinjaman untuk memegang posisi, jadi mereka boleh mendapat panggilan margin jika perdagangan mengalami kerugian.

Opsyen Bitcoin

Satu lagi kaedah untuk menyertai pasaran Bitcoin adalah melalui kontrak opsyen. Kontrak opsyen Bitcoin ialah jenis produk derivatif yang memberi pedagang hak, tetapi bukan kewajipan, untuk membeli atau menjual Bitcoin pada harga tertentu dalam tempoh masa yang ditetapkan. Kontrak opsyen berbeza daripada kontrak niaga hadapan kerana pedagang tidak diwajibkan untuk menyelesaikan kontrak opsyen tersebut.

Pada dasarnya, terdapat dua jenis opsyen: opsyen beli (call) dan opsyen jual (put).

Opsyen beli ialah kontrak yang memberi pembeli hak, tetapi bukan kewajipan, untuk membeli Bitcoin pada harga strike yang dipersetujui. Pedagang membeli opsyen beli jika mereka percaya harga aset akan meningkat.

Opsyen jual pula ialah kontrak yang memberi pembeli hak, tetapi bukan kewajipan, untuk menjual Bitcoin pada harga strike yang dipersetujui. Pedagang membeli opsyen jual jika mereka percaya harga akan menurun.

Di bursa seperti Binance, opsyen Bitcoin diselesaikan secara tunai apabila tamat tempoh, tetapi pedagang dibenarkan untuk melaksanakan kontrak opsyen mereka sebelum tamat tempohnya.

Satu-satunya keperluan untuk berdagang opsyen ialah premium (deposit yang diperlukan untuk membeli kontrak). Berbeza dengan niaga hadapan, di mana anda memerlukan margin yang mencukupi untuk mengekalkan posisi, kontrak opsyen hanya berakhir apabila ia mencapai tarikh tamat tempoh atau apabila pedagang melaksanakan hak mereka sebelum tamat tempoh. Satu-satunya wang yang akan mengalami kerugian ialah premium yang dibayar untuk kontrak tersebut.

Tempoh luput kontrak berbeza antara bursa, tetapi secara amnya berkisar dari 1 minit hingga 24 jam. Ingat, nilai kontrak opsyen tertakluk kepada susut nilai masa (time decay) — apabila kontrak menghampiri waktu luput, nilainya juga menghampiri sifar.

Opsyen volum

Kontrak opsyen volum memberi anda pendedahan kepada aset, bukan berdasarkan harga, tetapi berdasarkan perubahan dalam volum dagangan. Di sini, anda cuba meramalkan sama ada volum akan meningkat atau menurun dalam tempoh tertentu (luput). Anda mendapat keuntungan apabila volum menjadi lebih tinggi berbanding ketika anda membeli atau menjual opsyen volum, tetapi anda akan kehilangan premium jika volum menurun sebelum luput.

Pilihan Bitcoin

Terdapat dua kaedah utama untuk menganalisis pasaran Bitcoin: analisis fundamental dan analisis teknikal. Walaupun analisis fundamental lebih sesuai untuk pelaburan jangka panjang, analisis teknikal kebanyakannya digunakan oleh pedagang jangka pendek. Terdapat juga analisis bermusim — walaupun ia tidak selalunya dibincangkan.

Analisis fundamental

Analisis fundamental mempertimbangkan faktor-faktor luaran yang mempengaruhi nilai sesuatu aset. Mata wang kripto, termasuk Bitcoin, sangat sensitif kepada faktor luaran kerana sifatnya yang mengganggu. Tekanan peraturan daripada ekonomi utama seperti AS, China, dan Kesatuan Eropah sentiasa memberi kesan besar terhadap harga mata wang kripto.

Data pasaran dan faktor luaran yang mempengaruhi mata wang kripto boleh ditemui di laman web seperti Reddit, X (dahulunya Twitter), Telegram, atau Slack. Pengumpul data yang komprehensif seperti CoinGecko, CryptoCompare, dan CoinMarketCap juga merupakan sumber yang sangat berguna untuk mendapatkan data masa nyata bagi ratusan mata wang kripto, termasuk Bitcoin.

Berikut adalah beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan semasa melakukan analisis fundamental:

  1. Peraturan kerajaan – jika aset tidak memenuhi keperluan peraturan sesebuah bidang kuasa, ia memberi kesan negatif terhadap pertumbuhannya. Sebaliknya, pendirian kerajaan yang menyokong boleh dilihat sebagai perkembangan yang positif — contohnya, undang-undang El Salvador untuk menjadikan Bitcoin sebagai tender sah.
  2. Kebolehgunaan – nilai syiling meningkat apabila ia mempunyai lebih banyak pengguna sebenar. Penggunaan yang meningkat menyebabkan nilai aset juga meningkat.
  3. Liputan media – projek kripto yang berpotensi biasanya menarik perhatian ramai pengikut di media sosial. Terdapat perbincangan yang panjang mengenai semua projek yang sedang berjalan dan peta masa depan (roadmap) aset tersebut.

Analisis bermusim

Analisis jenis ini menilai prestasi Bitcoin pada musim yang berbeza dalam setahun. Dalam kaedah ini, penganalisis melihat perubahan purata harga Bitcoin setiap bulan. Lihat carta di bawah – ia mengambil kira perubahan peratusan purata harga Bitcoin setiap bulan sepanjang tempoh 3 tahun, dari 2015 hingga 2018.

Seasonality Analysis

Data agak terhad untuk membuat inferens yang boleh dipercayai. Tetapi dari carta, anda boleh melihat Bitcoin cenderung menunjukkan prestasi terbaik pada suku terakhir tahun dan sangat lemah pada suku pertama.

Analisis teknikal

Analisis teknikal adalah penggunaan indikator, alat grafik, dan tindakan harga untuk meramalkan harga masa depan sesuatu aset. Ia melibatkan penggunaan data harga dan volum sejarah untuk meramalkan arah pergerakan pasaran pada masa akan datang. Penganalisis teknikal yang juga dikenali sebagai penganalisis carta (chartist), percaya bahawa semua faktor yang boleh mempengaruhi pergerakan harga telah pun tercermin dalam carta harga dan data volum.

Beberapa indikator biasa untuk analisis teknikal termasuk RSI, stokastik, purata bergerak, dan penunjuk momentum MACD serta volum. Kami telah membincangkan sebahagian daripadanya di bahagian pasaran spot sebelum ini, tetapi kami akan menerangkan beberapa daripadanya dalam bahagian seterusnya.

Cara membaca carta harga Bitcoin

Anda membaca carta harga Bitcoin sama seperti anda membaca carta harga aset lain. Seperti aset lain, tindakan harga boleh divisualkan pada mana-mana jenis carta, tetapi carta yang paling biasa digunakan ialah carta garis, carta bar, dan candlestick Jepun.

Carta garis ialah graf garis berterusan yang menunjukkan satu titik harga — selalunya harga tutup. Kedua-dua carta bar dan carta candlestick Jepun menunjukkan empat titik harga — Buka, Tinggi, Rendah dan Tutup.

IstilahMakna
Harga tinggiHarga tertinggi dalam sesi perdagangan.
Harga rendahHarga terendah dalam sesi perdagangan.
Harga tutupHarga pada penghujung hari atau akhir sesi perdagangan.

Bar Chart

Carta bar

Japanese candlestick

Candlestick Jepun

Membaca tindakan harga

Tindakan harga merujuk kepada sejarah pergerakan harga seperti yang dipaparkan pada carta harga. Ia merupakan asas analisis teknikal, dan penganalisis carta tulen bergantung sepenuhnya pada tindakan harga untuk analisis mereka. Kunci untuk memahami tindakan harga adalah mengetahui cara untuk membaca gelombang harga dan menggunakannya untuk mengenal pasti trend harga dan pergerakan sisi (range-bound price action).

Gelombang harga terbahagi kepada dua jenis: gelombang impuls dan gelombang pembetulan (juga dipanggil pullback atau retracement). Gelombang impuls lebih besar dan bergerak mengikut arah trend, manakala gelombang pembetulan pula lebih kecil dan bergerak ke arah bertentangan. Oleh itu, dalam trend menaik, anda akan melihat paras tinggi semakin tinggi (higher swing high) dan paras rendah semakin tinggi (higher swing low). Lihat carta di bawah – perhatikan kenaikan besar (gelombang impuls ditandakan dengan anak panah biru) dan penurunan kecil (retracement ditandakan dengan anak panah hitam).

reading the price action - chart

Dalam trend menurun, anda akan melihat paras rendah semakin rendah (lower swing low) dan paras tinggi semakin rendah (lower swing high). Lihat carta di bawah – perhatikan penurunan besar (gelombang impuls seperti yang ditunjukkan oleh anak panah biru) dan kenaikan yang kecil (retracement ditandakan oleh anak panah hitam).

reading the price action - chart 2

Dalam tindakan harga yang mendatar (range bound), saiz gelombang hampir sama, jadi harga bergerak ke sisi seperti dalam carta di bawah.

reading the price action - chart 3

Sumber: TradingView

Indikator yang membantu

Beberapa indikator yang boleh anda gunakan untuk meningkatkan keputusan analisis termasuk RSI, stokastik, MACD (moving average convergence/divergence), dan purata bergerak.

Indeks Kekuatan Relatif (Relative Strength Index – RSI)

The Relative Strength Index - chart

Sumber: TradingView

RSI ialah osilator yang menunjukkan keadaan ekstrem dalam pasaran. Bacaan 70 dan ke atas dianggap terlebih beli, manakala bacaan 30 dan ke bawah dianggap terlebih jual.

Pedagang sering mengambil posisi panjang (beli) apabila indikator menunjukkan keadaan terlebih jual dan posisi pendek (jual) apabila bacaan indikator menunjukkan keadaan terlebih beli. Namun, mereka biasanya menggabungkannya dengan indikator lain dan juga membaca tindakan harga.

Stokastik

Stochastic - chart

Sumber: TradingView

Sama seperti RSI, stokastik juga mengukur keadaan yang ekstrem dalam pasaran. Bacaan di atas 80 adalah terlebih beli dan dianggap bearish, manakala bacaan di bawah 20 adalah terlebih jual dan dianggap bullish.

Purata bergerak

Purata bergerak ialah indikator yang mengikut trend secara berterusan dengan melukis purata harga bagi tempoh n. Terdapat beberapa jenis purata bergerak, tetapi purata bergerak mudah (Simple Moving Average – SMA) dan purata bergerak eksponen (Exponential Moving Average – EMA) adalah yang paling biasa digunakan.

Moving Average - chart

Sumber: TradingView

Carta di atas dan di bawah menunjukkan purata bergerak 50-hari. Apabila harga kekal di atas purata bergerak pada kebanyakan masa, harga mungkin berada dalam trend menaik, seperti dalam carta di atas. Apabila harga berada di bawah purata bergerak pada kebanyakan masa, harga mungkin berada dalam trend menurun, seperti dalam carta di bawah.

Moving Average - chart 2

Sumber: TradingView

Kalkulator Keuntungan Perdagangan Kripto

Nilai
Keputusan

Syiling Dibeli: 0

Nilai Akhir ( USD ): 0

Untung / Rugi ( USD ): 0

Gaya perdagangan Bitcoin yang berbeza

Secara umumnya, terdapat empat gaya perdagangan: scalping, perdagangan harian, perdagangan swing, dan perdagangan posisi/trend.


ScalpingScalping – Scalping ialah strategi perdagangan yang melibatkan pembukaan dan penutupan banyak posisi dalam tempoh masa yang singkat. Setiap perdagangan boleh berlangsung dari beberapa saat hingga beberapa minit. Kebanyakan scalper menggunakan bot perdagangan kerana kelajuan pelaksanaan pesanan yang sangat tinggi dan bilangan perdagangan yang besar. Sebagai penjelasan, bot perdagangan ialah algoritma komputer yang sentiasa memantau pasaran, melaksanakan dan mengurus perdagangan tanpa campur tangan manusia secara langsung.

Pedagang baharu tidak disarankan untuk menggunakan kaedah ini.


Day tradingPerdagangan harian – Pendekatan ini bertujuan untuk menangkap pergerakan harga terbaik pada satu hari perdagangan. Satu perdagangan boleh berlangsung dari beberapa minit hingga beberapa jam, tetapi paling penting, ia mesti ditutup pada hari yang sama.

Perdagangan harian memerlukan masa skrin yang lama dan boleh menjadi sangat menegangkan. Ia mungkin tidak sesuai untuk pedagang yang bekerja seharian.


Swing tradingPerdagangan swing – Perdagangan swing adalah kaedah yang bertujuan untuk menangkap swing harga individu pada rangka masa harian. Pedagang swing biasanya berdagang dalam julat harga, membeli pada paras rendah dan menjual pada paras tinggi. Mereka mengikut arah pasaran sehingga ia mencapai titik pembalikan sebelum keluar dari posisi.

Perdagangan swing tidak memerlukan banyak masa di hadapan skrin dan boleh dilakukan separuh masa sambil mengekalkan pekerjaan sepenuh masa (9 hingga 5) atau menjalankan perniagaan.


Trend tradingPerdagangan trend – Perdagangan trend yang juga dikenali sebagai perdagangan posisi merupakan satu pendekatan jangka panjang. Pedagang posisi sering membeli pada permulaan trend utama dan keluar apabila trend itu berbalik. Kaedah ini juga tidak memerlukan masa skrin yang lama. Ramai menganggapnya sebagai satu bentuk pelaburan.


Perkara lain yang perlu anda tahu

Berikut adalah beberapa perkara lain yang perlu anda ketahui tentang perdagangan Bitcoin.

Jenis pesanan perdagangan

Berikut adalah jenis-jenis pesanan biasa yang boleh digunakan apabila berdagang kripto.


Market orderPesanan pasaran – Pesanan pasaran ialah pesanan untuk membeli atau menjual aset pada harga pasaran semasa. Ia paling berguna apabila berdagang dalam pasaran stabil. Penggunaannya tidak disarankan dalam pasaran yang volatil (tidak menentu) seperti Bitcoin kerana harga pelaksanaan mungkin jauh lebih teruk daripada harga semasa pesanan dibuat.


Limit orderPesanan had – Pesanan had ialah pesanan untuk membeli atau menjual pada harga yang telah ditentukan. Pesanan kekal dalam buku pesanan pasaran sehingga harga mencapai tahap yang ditetapkan dan mencetuskan pesanan tersebut. Pesanan had sangat berguna apabila anda ingin membeli pada harga yang lebih rendah atau menjual pada harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran semasa.

Pesanan had beli dibuat di bawah harga pasaran semasa, manakala pesanan had jual dibuat di atas harga pasaran semasa. Contohnya, jika Bitcoin didagangkan pada harga $90,000 dan pedagang percaya akan berlaku penurunan (pullback) kepada harga $88,000, mereka boleh menetapkan pesanan had beli pada harga $88,100. Jika harga benar-benar jatuh ke paras itu, pesanan mereka akan dicetuskan.

Masalah untuk pesanan had ialah pasaran mungkin tidak turun ke paras harga yang telah ditetapkan sebelum berbalik, ini boleh menyebabkan anda terlepas pergerakan yang dijangkakan.


Saiz posisi atau kontrak

Saiz posisi atau saiz kontrak ialah jumlah aset yang sanggup didagangkan oleh seorang pedagang. Ia bukan sekadar memilih jumlah dan menekan butang beli atau jual. Memilih saiz posisi yang betul untuk modal perdagangan anda memerlukan kemahiran dan pemahaman yang baik tentang parameter pengurusan risiko dan wang anda.

Saiz posisi dalam Bitcoin dikira seperti berikut:

Saiz Posisi = (Saiz Akaun x Peratus Risiko Setiap Perdagangan) / Stop Loss (dalam perpuluhan)

Di mana:
Saiz akaun = baki ekuiti anda
Peratus risiko setiap perdagangan = jumlah anda sanggup risikokan dalam perdagangan
Stop loss = titik pembatalan

Sebagai contoh, katakan anda mempunyai saiz akaun $10,000, dan dasar pengurusan wang anda adalah untuk hanya merisikokan 2% daripada saiz akaun anda. Ini bermaksud anda sanggup menerima kerugian yang tidak lebih daripada $200 pada satu perdagangan.

Sekarang, katakan selepas analisis tersebut anda memutuskan meletakkan stop loss pada 5% dari titik kemasukan anda. Dengan menggunakan formula di atas, saiz posisi anda dikira seperti berikut.

Saiz posisi = $10,000 X 0.02 / 0.05
Saiz posisi = $4,000

Ini bermaksud anda perlu berdagang $4,000 untuk menanggung risiko $200 (2% daripada saiz akaun anda) sahaja dengan stop loss 5%. Strategi saiz posisi yang betul akan memastikan akaun anda mampu bertahan walaupun menghadapi beberapa siri kerugian.

Perdagangan berleveraj

Perdagangan berleveraj bermaksud berdagang posisi besar dengan pelaburan awal yang lebih kecil. Leveraj membantu anda mendapatkan pendedahan lebih besar kepada sesuatu aset tanpa perlu membuat deposit nilai muka bagi sesuatu aset.

Ia merupakan cara terbaik untuk memaksimumkan keuntungan. Walau bagaimanapun, leveraj harus digunakan dengan berhati-hati kerana turun naik harga yang kecil boleh menyebabkan anda kehilangan lebih banyak wang.

Istilah biasa dalam perdagangan Bitcoin

IstilahMaksud
BullPedagang yang percaya harga Bitcoin akan naik.
BearPedagang yang percaya harga Bitcoin akan turun.
ATH (All-time-high)Harga tertinggi sepanjang masa
ATL (All-time-low)Harga terendah sepanjang masa
Perdagangan arbitrajMembeli syiling di satu bursa dan menjualnya di bursa lain untuk mendapat keuntungan daripada perbezaan harga Bitcoin di bursa tersebut
HODL (Hold on for dear life)Pegang aset untuk jangka masa panjang
FOMO (Fear Of Missing Out)Takut terlepas peluang
FUD (Fear, Uncertainty, and Doubt)Ketakutan, Ketidakpastian dan Keraguan

Cara memulakan perjalanan dalam perdagangan Bitcoin anda

Untuk berjaya dalam perjalanan perdagangan Bitcoin anda, anda perlu melakukan perkara-perkara berikut:


Have a trading plan and strategyMempunyai pelan perdagangan dan strategi – Mempunyai pelan yang baik adalah langkah pertama ke arah pengalaman perdagangan Bitcoin yang berjaya. Anda perlu memilih jenis strategi yang akan digunakan, kekerapan perdagangan, dan pendekatan pengurusan risiko anda.


Open an accountBuka akaun dengan bursa yang sesuai – Banyak bursa menawarkan yuran yang kompetitif. Tetapi sebelum mendaftar di mana-mana bursa, semak keperluan mereka dan baca juga beberapa ulasan dalam talian mengenainya. Dengan cara ini, anda boleh memilih bursa yang boleh dipercayai dan sesuai dengan keperluan anda.


Start smallMulakan dengan modal yang kecil – Anda telah banyak membaca dan menonton sumber yang pelbagai, tetapi ini tidak bermaksud perdagangan pertama anda akan berjaya. Untuk mengurangkan risiko, mulakan dengan modal yang kecil dan naikkan secara beransur-ansur. Dalam dunia perdagangan, latihan akan menjadikannya sempurna. Anda juga boleh berlatih perdagangan maya menggunakan akaun demo atau bermula dengan deposit kecil sehingga anda benar-benar menguasainya.


Elakkan kesilapan yang biasa dilakukan oleh pedagang Bitcoin seperti berikut

  1. Berdagang kerana tamak atau takut.
  2. Tidak mengikut pelan perdagangan.
  3. Berdagang kerana dendam (revenge trading).
  4. Mengambil risiko melebihi kemampuan.

Kesimpulan

Perdagangan Bitcoin boleh menjadi menyeronokkan jika anda tahu apa yang anda lakukan. Turun naik yang tinggi dalam Bitcoin memberikan peluang yang besar untuk menjana wang, tetapi ia juga boleh memberi kesan buruk apabila anda berada di sisi pasaran yang salah. Kunci untuk berjaya dalam perdagangan Bitcoin adalah memahami personaliti dan gaya perdagangan anda dan kemudian merangka pelan yang paling sesuai untuk diri sendiri. Anda mungkin mendapati HODLing adalah pendekatan terbaik untuk diri anda.

Ditulis oleh E. Ifeanyi | Diterjemahkan oleh Shakirah Manijal