Laman Utama » Panduan Pergerakan Harga (Price Action)
Ditulis oleh Richard Perry
Richard Perry ialah seorang pakar yang diiktiraf dalam analisis teknikal dan strategi pasaran, dengan pengalaman yang luas dalam pasaran mata wang dan ekuiti. Beliau telah menubuhkan firma sendiri bernama Perry Market Analysis yang menyediakan perkhidmatan perundingan dan analisis bagi pasaran utama, termasuk penyelidikan melalui webinar, video dan analisis bertulis.
, | Diterjemahkan oleh Shakirah Manijal
Shakirah Manijal merupakan pakar kandungan yang berpengalaman dalam penterjemahan dan penyuntingan Bahasa Melayu, khususnya bagi ulasan broker dan kandungan berkaitan perdagangan.
, | Dikemas Kini:

Pergerakan harga (Price Action) merujuk kepada analisis prestasi suatu instrumen perdagangan tertentu (pasangan mata wang, komoditi, saham, mata wang kripto dan sebagainya) untuk meramalkan pergerakan harganya pada masa hadapan dengan mengenal pasti corak tertentu (isyarat) dalam pasaran. Pedagang pergerakan harga menggunakan pelbagai kaedah untuk meramalkan pergerakan pasaran dan memperoleh keuntungan dalam jangka pendek.

Sesetengah pedagang menggunakan pergerakan harga “naked” atau “tulen”, satu teknik yang melibatkan pesanan dibuat berdasarkan carta yang mengandungi data harga mentah tanpa bergantung pada indikator teknikal atau alat analisis pasaran lain. Pendekatan ini membolehkan pedagang menambah baik kemahiran membaca pasaran dan mengelakkan lebihan maklumat.

Apabila membaca segmen (lilin atau bar) pada carta harga, pedagang mencari isyarat pergerakan harga yang mudah dikenali (corak pergerakan harga) untuk meramalkan turun naik pasaran pada masa hadapan. Pedagang yang berpengalaman biasanya dapat mengesan isyarat sedemikian dengan segera dengan mengenal pasti pembentukan lilin tertentu atau pengulangan prestasi harga masa lalu.

Mengapa pergerakan harga begitu popular dalam Forex? Perbezaan antara pergerakan harga dan analisis teknikal

Perdagangan pergerakan harga sangat popular di kalangan pedagang forex, ia boleh dijelaskan oleh sebab-sebab berikut:

  1. Pertama, pasaran forex menawarkan kecairan yang tiada tandingan berbanding segmen pasaran lain, membolehkan pedagang masuk dan keluar posisi dengan cepat dan mudah;
  2. Kedua, pasaran ini sangat matang, memudahkan pengesanan corak dan trend yang berulang;
  3. Ketiga, pasaran ini sentiasa aktif, tetapi jarang mencapai paras tertinggi atau terendah yang ketara. Ini menjadikannya sesuai untuk pedagang baharu yang ingin mencuba posisi yang lebih kecil sebelum meningkatkan saiz perdagangan apabila mereka memperoleh lebih banyak pengalaman.

Jika kita membandingkan pergerakan harga dengan analisis teknikal, ambil perhatian bahawa indikator pergerakan harga hanyalah percikan aktiviti yang dapat dikesan dengan cepat oleh pedagang yang berpengalaman pada carta harga dan digunakan untuk membuat keputusan yang tepat secara masa nyata.

Manakala analisis teknikal memerlukan pengiraan terperinci pada berbilang rangka masa perdagangan untuk meramalkan pergerakan pasaran pada masa hadapan, pergerakan harga hanya memberi tumpuan kepada pergerakan harga satu instrumen perdagangan dalam satu rangka masa yang diperiksa oleh pedagang. Pedagang pergerakan harga biasanya mengelakkan penggunaan indikator teknikal tambahan untuk membaca pasaran.

Dalam panduan ini, kami akan membincangkan pelbagai corak pembalikan trend dan kesinambungan trend yang berdasarkan satu, dua atau lebih segmen pada carta harga (lilin) yang boleh digunakan oleh pedagang semasa menganalisis pasaran global.

Pertama, kita akan mulakan dengan pembentukan lilin tunggal.

Corak Lilin “Hammer” dan “Hanging Man”

Walaupun pembentukan lilin ini mungkin kelihatan serupa pada carta, ia memainkan peranan yang berbeza. Kedua-duanya mempunyai bayang bawah yang panjang, badan yang kecil dan bayang atas yang pendek (atau tiada).

“Hammer” ialah corak pembalikan menaik dan biasanya muncul selepas pasaran berada dalam trend menurun. Ia mungkin dikesan pada paras sokongan dan menandakan pergerakan harga telah mencapai paras terendah dan mungkin berubah arah. Corak ini mewakili peluang untuk masuk posisi beli, tetapi pedagang masih perlu mencari pengesahan yang harga benar-benar akan bergerak naik. Pengesahan ini mungkin berbentuk lilin hijau dengan harga tutup di atas harga buka atau di atas harga tinggi lilin yang mendahului “Hammer”. Corak ini mempunyai ciri utama berikut:

  • Bayang atas yang pendek atau tiada
  • Bayang bawah yang panjang, sebaiknya dua atau tiga kali ganda lebih panjang daripada badan lilin
  • Badan berada di hujung atas lilin
  • Hammer hijau lebih diutamakan berbanding hammer merah kerana ia mewakili sentimen menaik yang lebih kukuh.

“Hammer”

“Hanging Man” ialah corak pembalikan menurun dan biasanya muncul selepas pasaran berada dalam trend menaik. Ia mungkin dikesan pada paras rintangan yang kuat, menunjukkan pergerakan harga telah mencapai puncak dan mungkin berubah arah. Corak ini mewakili peluang untuk masuk posisi jual. Seperti “Hammer”, pedagang harus berhati-hati terhadap isyarat palsu dan mencari pengesahan yang harga benar-benar bergerak ke bawah. Pengesahan ini biasanya berupa lilin merah dengan harga tutup di bawah harga buka atau di bawah harga terendah lilin yang mendahului “Hanging Man”. Corak ini mempunyai ciri utama berikut:

  • Bayang atas yang pendek atau tiada
  • Bayang bawah yang panjang, sebaiknya dua atau tiga kali ganda lebih panjang daripada badan lilin
  • Badan berada di hujung atas lilin
  • Hanging Man merah lebih diutamakan kerana ia mempunyai potensi pergerakan harga menurun yang lebih besar berbanding versi hijau.

“Hanging Man”

Corak Lilin “Inverted Hammer” dan “Shooting Star”

Sama seperti dua corak sebelumnya, “Inverted Hammer” dan “Shooting Star” mungkin kelihatan serupa pada carta harga, tetapi ia digunakan dalam konteks yang berbeza. Kedua-duanya mempunyai bayang atas yang panjang, badan yang kecil dan bayang bawah yang pendek (atau tiada).

Corak “Inverted Hammer” biasanya muncul selepas pasaran berada dalam trend menurun, menandakan pembalikan menaik. Ia mungkin dikesan pada paras sokongan dan menunjukkan pergerakan harga telah mencapai paras terendah dan mungkin berubah arah. Ia mewakili peluang untuk masuk posisi beli, tetapi pedagang masih perlu mencari pengesahan yang pergerakan harga benar-benar sedang berbalik ke arah menaik. Pengesahan ini boleh hadir dalam bentuk lilin hijau dengan harga tutup di atas harga buka atau di atas harga tinggi lilin yang mendahului “Inverted Hammer”.

“Inverted Hammer” kadangkala muncul berhampiran “Hammer” biasa, mengesahkan paras sokongan adalah agak kuat.

Corak “Inverted Hammer” mempunyai ciri utama berikut:

  • Bayang bawah yang pendek atau tiada
  • Bayang atas yang panjang, sebaiknya dua atau tiga kali lebih panjang daripada badan lilin
  • Badan berada di hujung bawah lilin
  • Inverted Hammer hijau lebih diutamakan kerana ia mencadangkan sentimen menaik yang kuat.

The “Inverted Hammer” pattern

Corak “Shooting Star” biasanya muncul selepas pasaran melalui tempoh kenaikan, mencadangkan pembalikan kepada sentimen menurun. Ia mungkin dikesan pada paras rintangan dan memberi isyarat yang harga mula menurun selepas mencapai puncak. Corak ini menandakan peluang untuk masuk posisi jual tetapi pedagang harus menunggu pengesahan yang pihak penjual benar-benar telah menguasai pasaran. Pengesahan ini biasanya berupa lilin merah dengan harga tutup di bawah harga buka atau di bawah harga terendah lilin yang mendahului “Shooting Star”.

Corak “Shooting Star” mempunyai ciri utama berikut:

  • Bayang bawah yang pendek atau tiada
  • Bayang atas yang panjang (sebaiknya tiga kali lebih ganda lebih panjang daripada badan lilin)
  • Badan berada di hujung bawah lilin
  • Shooting Star merah lebih diutamakan kerana ia menunjukkan sentimen menurun yang lebih kuat berbanding lilin hijau.

The “Shooting Star” pattern

Marubozu Putih

Ini adalah corak lilin tunggal yang muncul selepas tempoh menurun, biasanya menandakan pembalikan menaik. Lilin ini mempunyai badan menaik yang besar dan tiada bayang atas atau bawah, menunjukkan pembeli sedang memberi tekanan dan harga mungkin berbalik ke atas. Marubozu Putih yang terbentuk di penghujung trend menurun dianggap sebagai isyarat pembalikan bulish yang lebih kuat berbanding jika ia muncul dalam trend menaik, di mana ia lebih cenderung menandakan kesinambungan trend.

White Marubozu

Marubozu Hitam

Ini adalah corak lilin tunggal yang muncul selepas trend menaik dan menandakan pembalikan menurun. Lilin ini mempunyai badan menurun yang besar dan tiada bayang atas atau bawah, menunjukkan penjual sedang memberi tekanan dan harga mungkin berbalik ke bawah. Marubozu Hitam yang terbentuk di akhir trend menaik adalah isyarat pembalikan menurun yang lebih kuat.

Black Marubozu

Lilin Doji

Lilin-lilin ini muncul pada carta harga apabila harga buka dan tutup sesuatu instrumen perdagangan hampir sama. Akibatnya, lilin doji mempunyai badan yang jauh lebih kecil berbanding lilin biasa. Lilin doji memberikan maklumat berguna kerana ia membolehkan pedagang menentukan sama ada momentum trend semakin lemah dan mengenal pasti potensi pembalikan arah harga. Ini membolehkan pedagang masuk dan mengikut trend pasaran apabila ia bermula atau keluar dari pasaran sebelum ia berakhir. Strategi yang berdasarkan lilin doji cenderung memberikan isyarat yang lebih boleh dipercayai apabila digunakan dalam pasaran yang sedang berada dalam aliran trend.

Terdapat 4 jenis lilin doji – star doji, long-legged doji, dragonfly doji dan gravestone doji.

Lilin star doji mempunyai bayang atas dan bawah yang pendek dan hampir sama panjang. Lilin doji ini terbentuk apabila harga buka dan tutup sama, manakala julat harga semasa adalah sempit. Star doji menandakan ketidaktentuan di kalangan ahli pasaran sepanjang tempoh tersebut.

Star Doji

Long-legged doji mempunyai bayang atas dan bawah yang lebih panjang, manakala julat harganya lebih luas. Lilin doji ini menandakan pihak pembeli (bull) dan penjual (bear) sedang bertarung untuk menguasa pasaran, tetapi kali ini kedua-dua pihak jauh lebih aktif.

long-legged doji

Dragonfly doji mempunyai bayang bawah yang panjang, dengan lilin yang dibuka dan ditutup pada paras harga yang sama, biasanya pada bahagian paras tinggi julat harga. Doji ini menandakan penjual telah berjaya menekan harga ke bawah sebelum kehilangan kawalan akibat lonjakan posisi beli. Ketiadaan bayang atas menunjukkan penjual masih bertahan dan pembeli tidak memberi tekanan yang mencukupi untuk mencetuskan penembusan melebihi paras harga itu. Dragonfly doji biasanya menghasilkan isyarat menaik.

dragonfly doji

Gravestone doji mempunyai bayang atas yang panjang dan lilin dibuka dan ditutup pada paras harga yang sama, iaitu pada bahagian bawah julat harga. Doji ini menandakan pihak pembeli telah menolak harga ke atas sehingga berlaku lonjakan posisi jual. Ketiadaan bayang bawah menandakan pembeli masih menyokong harga kerana penjual tidak memberi tekanan yang mencukupi untuk mencetuskan penembusan melepasi paras harga itu. Gravestone doji biasanya menghasilkan isyarat menurun.

gravestone doji

Corak harga jangka pendek juga boleh terdiri daripada dua lilin. Corak dua lilin yang paling popular termasuk Bullish dan Bearish Engulfing, Dark Cloud Cover dan Piercing Line, Tweezer Tops dan Tweezer Bottoms, serta Harami.

Corak Bullish dan Bearish Engulfing

Pembentukan Engulfing adalah corak dua lilin yang menandakan pembalikan arah trend. Isyarat ini cenderung menjadi lebih kuat apabila terdapat keadaan pasaran yang menggalakkan corak tersebut. Oleh kerana pembentukan ini biasanya menandakan pembalikan trend, pasaran mesti berada dalam trend yang boleh dikenali agar corak Engulfing dapat berfungsi dengan baik.

Dalam trend yang telah disahkan, pembentukan Bearish Engulfing menandakan pasaran telah mencapai puncak dan trend menurun baharu mungkin akan bermula. Pembentukan Bullish Engulfing menandakan pasaran telah mencapai paras terendah dan trend menaik baharu mungkin akan terbentuk.

Terdapat beberapa syarat untuk mengenal pasti pembentukan Engulfing dengan betul.

  1. Pertama sekali, pasaran perlu mempamerkan trend jangka pendek atau jangka panjang yang telah disahkan.
  2. Kedua, salah satu lilin harus menaik dan yang satu lagi menurun. Apabila lilin pertama adalah menurun, lilin kedua harus menaik untuk melengkapkan pembentukan Bullish Engulfing.
  3. Ketiga, badan lilin pertama harus lebih kecil daripada badan lilin kedua. Lilin kedua tidak perlu menelan (engulf) sepenuhnya ekor lilin pertama. Namun, julat tinggi-rendah lilin kedua harus sama atau lebih lebar daripada julat tinggi-rendah lilin pertama.

Engulfing formation 1

Engulfing formation 2

Dalam pembentukan Engulfing yang ideal, badan lilin kedua menelan keseluruhan lilin pertama, termasuk bayangnya. Jika pembentukan ini muncul selepas lilin Doji, isyarat yang terhasil akan menjadi lebih berkuasa.

Secara umumnya, semakin kecil lilin pertama dan semakin besar lilin kedua, semakin kuat pembentukan Engulfing itu. Jika perbezaan antara kedua lilin tidak begitu ketara, corak akan menjadi lebih lemah. Jika kedua-dua lilin hampir sama saiznya, pembentukan menjadi tidak relevan dan kemungkinan besar akan membawa kepada pergerakan harga mendatar.

Dark Cloud Cover, Piercing Line

“Dark Cloud Cover” dan corak lawannya, “Piercing Line”, mewakili corak pembalikan trend dua lilin. Dark Cloud Cover terbentuk pada puncak pasaran dan menandakan pembalikan ke arah menurun. Lilin pertama dalam pembentukan ini adalah besar dan menaik, manakala lilin kedua lebih kecil dan menurun. Lilin kedua mesti dibuka di atas bayang atas lilin pertama, biasanya membentuk jurang menaik. Harga mesti menurun lagi dan ditutup dalam badan lilin pertama, sebaik-baiknya di bawah titik tengahnya. Semakin besar penembusan itu, semakin kuat corak ini.

Pembentukan Dark Cloud Cover yang ideal mengandaikan lilin kedua ditutup di bawah titik tengah badan lilin pertama. Perlu diingat bahawa pasaran yang cair seperti forex mungkin memerlukan syarat pembentukan yang lebih fleksibel. Contohnya, lilin kedua (menurun) mungkin dibuka di atas harga tutup lilin pertama (menaik) bukan harga tertingginya, sementara harga tutupnya mungkin tidak sedalam yang dijangkakan. Namun, jika harga tutup lilin kedua tidak mencapai titik tengah badan lilin pertama, pembentukan itu mungkin tidak dianggap konklusif.

Dark Cloud Cover formation

Corak “Piercing Line” biasanya muncul selepas trend menurun yang kuat, menandakan pasaran telah mencapai paras atau zon sokongan. Corak ini menandakan sama ada pembetulan pasaran atau trend menaik baharu akan berlaku. Semua syarat untuk Dark Cloud Cover boleh digunakan pada Piercing Line, tetapi secara terbalik. Corak ini boleh diperhatikan pada pelbagai rangka masa dan kebolehpercayaannya mungkin berbeza bergantung pada rangka masa. Rangka masa yang lebih panjang sering membawa kepentingan yang lebih besar. Volum perdagangan juga perlu diambil kira kerana volum yang lebih tinggi pada lilin kedua menambah kekuatan yang ketara pada isyarat tersebut. Corak pembalikan yang kuat dengan volum yang rendah mungkin kurang boleh dipercayai.

The “Piercing Line” pattern

Tweezer Tops, Tweezer Bottoms

Tweezers juga menandakan pembalikan trend. Tweezer Tops adalah pembentukan menurun kerana ia menandakan yang trend menaik sedia ada hampir berakhir. Sebaliknya, Tweezer Bottoms menunjukkan pembalikan menaik kerana ia mencadangkan trend menurun sedia ada akan berakhir.

Tweezer Tops” pattern

Tweezer Bottoms

Kedua-dua variasi corak ini terdiri daripada dua lilin yang bertentangan, satu menaik dan satu menurun dengan paras rendah dan tinggi yang sepadan. Sekali lagi, untuk Tweezers berfungsi dengan baik, pasaran mesti mempamerkan trend jangka pendek atau jangka panjang yang jelas.

Bagaimana corak ini ditafsirkan? Dalam trend menaik, pada bayang lilin pertama, pihak pembeli telah ditewaskan oleh penjual. Bayang lilin kedua menunjukkan satu lagi cubaan oleh pembeli untuk menaikkan harga pasaran dengan lebih tinggi. Setelah pembeli gagal mengambil alih kawalan pasaran dua kali berturut-turut, penjual akhirnya mendapat kelebihan dan boleh menolak harga ke bawah.

Secara umumnya, Tweezers mesti mempunyai paras tinggi atau rendah yang sepadan, sama ada padanan itu berlaku pada badan atau bayang lilin. Paras tinggi atau rendah pada beberapa pembentukan Engulfing juga mungkin sepadan, tetapi ini masih dianggap sebagai Tweezer. Oleh itu, lebih daripada dua lilin boleh terlibat dalam pembentukan Tweezers dan semuanya mesti mempunyai paras rendah atau tinggi yang sepadan.

Senario Tweezer yang ideal mengandaikan badan dan bayang kedua-dua lilin adalah agak serupa. Pembentukan menjadi lebih kuat apabila lilin-lilin itu kelihatan seperti “kembar”.

Perlu diingat bahawa badan kedua-dua lilin tidak semestinya bersaiz sama. Perbezaan kecil pada paras rendah atau tinggi juga dibenarkan. Namun, semakin serupa lilin-lilin itu pada carta, semakin tinggi kebarangkalian untuk pembalikan trend akan berlaku.

Harami

Ini adalah corak dua lilin yang terdiri daripada satu lilin besar (merah atau hijau) dan satu lilin kecil yang badannya ditelan sepenuhnya oleh lilin pertama. Lilin kedua juga dikenali sebagai spinning top dan boleh menjadi Doji, Hammer, Hanging Man, atau Shooting Star. Pedagang harus mencari situasi di mana badan lilin kedua berada dalam badan lilin pertama. Bayang lilin kedua tidak perlu berada dalam julat lilin pertama. Oleh itu, pedagang harus memerhatikan julat harga buka-tutup dan bukannya julat tinggi-rendah lilin tersebut.

Harami 1

Harami 2

Lilin kedua yang berbadan kecil menandakan pengecilan volatiliti pasaran. Dalam jangka pendek, ini biasanya diikuti oleh lonjakan volatiliti dan permulaan trend baharu. Oleh itu, Harami mungkin menandakan sama ada pembalikan trend atau pecutan trend semasa. Ia bergantung pada arah penembusan (breakout).

Seterusnya, kita akan membincangkan beberapa corak harga yang terdiri daripada tiga batang lilin.

Evening Star, Morning Star

Kedua-dua pembentukan ini menandakan pembalikan trend. Evening Star adalah pembentukan tiga lilin menurun yang muncul pada puncak pasaran, menandakan trend menaik yang telah berakhir. Lilin pertama dalam corak ini bersaiz besar dan menaik, diikuti oleh lilin kecil yang dikenali sebagai “star”. Seperti dalam corak Dark Cloud Cover, kemunculan lilin star mencadangkan jurang pembukaan. Namun, memandangkan harga menurun selepas itu dan badan star terbentuk, harus diingat bahawa ia tidak boleh menembusi badan lilin menaik yang besar (lilin pertama dalam corak).

Lilin star boleh menaik atau menurun. Ia juga boleh menjadi lilin Doji, dalam kes itu pembentukannya dikenali sebagai “Evening Doji Star”. Walaupun lilin kedua bukan Doji, ia sentiasa menunjukkan persamaan tertentu dengan Doji kerana ia menandakan pergerakan harga yang berhenti secara mendadak.

Untuk corak Evening Star berjaya, lilin ketiga mesti lilin besar yang menurun. Ini menandakan penjual telah mengatasi pembeli semasa pembentukan lilin star. Badan lilin ketiga tidak perlu menembusi star. Namun syarat ini tidak dianggap wajib kerana ia jarang berlaku. Sebaliknya, syarat utama bagi corak ini ialah lilin menurun mesti menembusi badan lilin menaik. Tahap penembusan itu penting — badan lilin ketiga mesti meliputi 2/3, ataupun 3/4 daripada ketinggian lilin pertama dalam pembentukan tersebut.

the Evening Star pattern

Jika pasaran ditutup di atas paras tertinggi corak tersebut, pembentukan Evening Star adalah isyarat palsu. Jika pasaran ditutup di bawah paras rendah corak tersebut, pembentukan ini dianggap berjaya.

Morning Star adalah pembentukan menaik dan semua syarat yang dibincangkan di atas terpakai secara terbalik.

The Morning Star

Three White Soldiers, Three Black Crows

Kedua-dua corak ini terdiri daripada 3 lilin berwarna sama. Pembentukan Three White Soldiers menandakan pembalikan menaik, manakala Three Black Crows menandakan pembalikan menurun.

Three White Soldiers terdiri daripada 3 lilin menaik berturut-turut yang serupa saiznya dan biasanya muncul selepas trend menurun. Lilin kedua lebih besar daripada yang pertama, manakala lilin ketiga sekurang-kurangnya sama saiz dengan lilin kedua. Jika lilin ketiga kelihatan jauh lebih kecil daripada dua lilin sebelumnya, ini menunjukkan pembeli tidak sepenuhnya mengawal pasaran, dan kejadian sebegini boleh menjadi punca kepada pembalikan trend menurun yang tidak berlaku.

The Three White Soldiers formation

Setiap lilin perlu dibuka dalam badan lilin sebelumnya atau pada paras tertingginya. Badan lilin yang terlalu memanjang juga harus diperhatikan kerana instrumen perdagangan mungkin berada dalam keadaan terlebih beli dan pembetulan mungkin berlaku. Ketiga-tiga lilin perlu agak panjang dan mempunyai bayang atas yang kecil atau tiada langsung – atau ia perlu ditutup pada atau hampir kepada paras tertinggi masing-masing. Perlu diingat, jika bayang terlalu panjang dan sama atau melebihi panjang badan lilin, ini menunjukkan penjual masih kuat.

Pembentukan menjadi lebih kuat apabila harga buka lilin kedua dan ketiga masing-masing sepadan dengan harga tutup lilin pertama dan kedua. Corak juga akan lebih kukuh jika ia muncul selepas trend menurun yang berpanjangan dan diikuti oleh fasa pengukuhan yang membezakannya daripada corak Three White Soldiers.

Three Black Crows pula terdiri daripada 3 lilin menurun berturut-turut yang serupa saiznya dan biasanya muncul selepas trend menaik. Setiap lilin dibuka dalam badan lilin sebelumnya atau pada paras terendahnya. Secara ideal, lilin-lilin ini hendaklah agak panjang dengan bayang bawah yang kecil atau tiada langsung. Lilin ketiga yang jauh lebih kecil mungkin menunjukkan momentum menurun yang sedang melemah, manakala badan lilin yang terlalu panjang boleh menunjukkan keadaan terlebih jual dan potensi berlakunya lantunan harga.

The Three Black Crows pattern

Corak Bullish Abandoned Baby

Ini adalah corak tiga lilin yang terbentuk dalam trend menurun sedia ada dan menandakan potensi pembalikan trend tersebut. Pedagang pergerakan harga menjangkakan setelah corak selesai, pasaran akan terus bergerak ke atas kerana jualan telah habis (sekurang-kurangnya untuk sementara waktu). Terdapat beberapa kriteria tertentu untuk corak Bullish Abandoned Baby terbentuk:

  1. Pertama sekali, lilin pertama ialah lilin besar menurun dan ia adalah sebahagian daripada trend menurun yang jelas;
  2. Kedua, lilin seterusnya ialah Doji yang terbentuk dengan jurang ke bawah di bawah harga tutup lilin pertama;
  3. Ketiga, lilin terakhir ialah lilin besar menaik yang dibuka di atas Doji dan menunjukkan pergerakan menaik yang agresif.

Bullish Abandoned Baby Pattern

Idea di sebalik corak ini ialah pasaran telah bergerak dalam trend menurun yang jelas dan satu lagi jualan besar baru sahaja berlaku, seperti yang dibuktikan oleh kemunculan lilin pertama yang besar dan menurun. Kemunculan Doji menandakan jualan mula mendatar, dengan harga buka dan tutup lilin yang hampir sama. Ia juga menunjukkan penjual mungkin kehilangan momentum dan pembeli mula menyertai pasaran. Doji tersebut diikuti oleh lilin besar menaik yang berjurang ke atas. Ini menunjukkan penjual telah mengambil kembali kawalan pasaran, sementara jualan telah habis buat masa ini.

Kadangkala, pedagang boleh menyaksikan pembentukan dua atau tiga lilin Doji sebelum pasaran membuat pergerakan menaik. Ini juga dianggap sebagai corak Bullish Abandoned Baby kerana terdapat kejatuhan harga yang mendadak diikuti oleh fasa mendatar, sebelum kenaikan harga yang mendadak.

Corak Bearish Abandoned Baby

Ini adalah corak tiga lilin yang terbentuk dalam trend menaik sedia ada dan menandakan potensi pembalikan. Pedagang pergerakan harga menjangkakan setelah corak ini selesai terebntuk, pasaran akan terus bergerak ke bawah kerana pembelian telah habis buat sementara waktu. Terdapat kriteria yang perlu dipenuhi untuk corak Bearish Abandoned Baby terbentuk:

  1. Pertama sekali, lilin pertama ialah lilin besar menaik dan ia adalah sebahagian daripada trend menaik yang jelas;
  2. Kedua, lilin seterusnya ialah Doji yang berjurang di atas harga tutup lilin pertama;
  3. Ketiga, lilin terakhir ialah lilin besar menurun yang dibuka di bawah Doji dan menunjukkan pergerakan menurun yang agresif.

Bearish Abandoned Baby Pattern

Three Inside Up, Three Inside Down

Three Inside Up mewakili pembentukan pembalikan menaik yang muncul pada paras rendah pasaran, manakala Three Inside Down adalah menurun dan muncul pada puncak pasaran. Pembentukan Three Inside Up boleh dilihat pada penghujung trend menurun dan sering bertepatan dengan paras sokongan. Perlu diingat bahawa corak ini tidak semestinya menunjukkan pembalikan akan berlaku dalam masa terdekat. Ia mungkin sekadar mendahului fasa rehat pasaran atau pembetulan harga. Lilin pertama dalam corak ialah lilin besar menurun, manakala lilin kedua ialah lilin kecil menaik berbentuk spinning-top atau Doji. Oleh itu, dua lilin pertama ini membentuk corak Harami.

Lilin yang lebih kecil mesti ditutup sekurang-kurangnya pada titik tengah badan lilin sebelumnya. Kemudian, lilin ketiga yang menaik akan menembusi ke atas dan ditutup di atas badan lilin pertama. Isyarat yang lebih kuat akan terhasil jika lilin ketiga ditutup melebihi harga tinggi lilin pertama.

Three Inside Down

The Three Inside Up pattern

Corak Three Inside Up mempunyai persamaan tertentu dengan Morning Star. Namun, ia dianggap lebih kuat kerana lilin kedua (tengah) tidak mencapai paras tinggi atau rendah baharu apabila pihak bertentangan (dalam kes ini pembeli) mengambil alih kawalan pasaran. Malah, apabila lilin ketiga mula terbentuk, pembeli sudah menguasai pasaran dan akhirnya berjaya menolak harga ke paras yang lebih tinggi berbanding pergerakan harga yang kita lihat dalam corak Morning Star.

Three Outside Up, Three Outside Down

Three Outside Up (menaik) dan Three Outside Down (menurun) juga menandakan pembalikan trend. Three Outside Up biasanya muncul pada paras rendah pasaran. Lilin pertama adalah lilin kecil menurun berbentuk spinning-top yang sepadan dengan pergerakan pasaran terkini. Lilin kedua dalam corak ini ialah lilin besar menaik yang menelan lilin pertama. Kita boleh katakan Three Outside Up sebenarnya bermula dengan pembentukan Engulfing. Corak ini kemudiannya diakhiri oleh kemunculan lilin ketiga yang menaik dan ditutup di atas lilin kedua. Lilin ketiga mencapai paras tinggi baharu yang melepasi paras tinggi pembentukan Engulfing.

Three Outside Up

Three Outside Down

Three Outside Up biasanya dianggap kurang dipercayai berbanding pembentukan tiga lilin lain kerana lilin luar kurang dapat diramal dan menguntungkan berbanding lilin dalam, seperti dalam corak Morning Star/Evening Star dan Three Inside Up/Three Inside Down.

Sekarang, mari kita lihat beberapa corak lilin kesinambungan trend.

Corak Mat-Hold

Ini adalah corak kesinambungan lima lilin dengan variasi menaik dan menurun. Corak menaik terdiri daripada satu lilin menaik bersaiz besar dan jurang harga ke atas diikuti oleh tiga lilin menurun berbadan kecil. Ketiga-tiga lilin ini idealnya kekal dalam julat harga lilin besar menaik pertama, mewakili fasa rehat sementara atau pengambilan untung dalam trend menaik sedia ada. Lilin kelima pula sekali lagi bersaiz besar dan menaik, menandakan tekanan pembelian asas telah kembali dan kemungkinan kesinambungan trend menaik.

Mat-Hold Pattern

Upside Tasuki Gap

Ini adalah corak kesinambungan tiga lilin menaik yang muncul semasa trend menaik sedia ada. Lilin pertama mempunyai badan yang besar dan bersifat menaik. Lilin kedua juga menaik dan terbentuk selepas jurang kenaikan harga. Lilin ketiga bersifat menurun dan ditutup dalam jurang yang terbentuk antara dua lilin menaik. Secara ideal, lilin menurun ini tidak menutup jurang sepenuhnya; kegagalan berbuat demikian menunjukkan momentum menaik masih kukuh. Pergerakan harga menaik selanjutnya selepas corak ini sempurna boleh berfungsi sebagai pengesahan kepada isyarat kesinambungan.

Upside Tasuki Gap

Downside Tasuki Gap

Ini adalah corak kesinambungan tiga lilin menurun yang muncul semasa trend menurun sedia ada. Lilin pertama mempunyai badan yang besar dan bersifat menurun. Lilin kedua juga menurun dan terbentuk selepas jurang penurunan harga. Lilin ketiga bersifat menaik dan ditutup di dalam jurang yang terbentuk antara dua lilin menurun pertama. Kegagalan lilin menaik untuk menutup jurang harga itu menunjukkan momentum menurun masih kuat.

Downside Tasuki Gap

Corak Falling Three Methods

Ini adalah corak kesinambungan lima lilin menurun yang menunjukkan gangguan sementara dalam pasaran tanpa pembalikan trend menurun sedia ada. Corak ini merangkumi dua lilin besar selari yang sehala dengan arah trend pada permulaan dan penghujung pembentukannya, dengan tiga lilin kecil menaik yang bergerak bertentangan di tengah. Pembentukan ini menunjukkan pembeli masih tidak cukup kuat untuk membalikkan trend sedia ada.

Falling Three Methods Pattern

Corak Rising Three Methods

Ini adalah corak kesinambungan lima lilin menaik yang menunjukkan gangguan sementara dalam pasaran tanpa pembalikan trend menaik sedia ada. Corak ini termasuk dua lilin besar selari dengan arah trend pada permulaan dan penghujung serta tiga lilin kecil bertentangan (menurun) di tengah. Pembentukan ini memberitahu pedagang pergerakan bahawa penjual masih belum cukup kuat untuk membalikkan trend sedia ada.

Rising Three Methods Pattern

Kalkulator Paras Fibonacci

Nilai
Tahap Retracement
TahapHarga
Tahap Lanjutan
TahapHarga

Kesimpulan

Perdagangan pergerakan harga berkait rapat dengan data sejarah terkini dan mengambil kira semua alat analisis teknikal, termasuk carta, garis trend, jalur harga, swing tinggi dan swing rendah, paras sokongan dan rintangan, pengukuhan, dan sebagainya. Corak biasa yang diperhatikan oleh pedagang pergerakan harga termasuk breakout, retracement, dan pelbagai corak lilin. Sebagai perbandingan, senario analisis teknikal yang tipikal, seperti purata bergerak jangka pendek melintasi purata bergerak jangka panjang akan membawa kepada tingkah laku dan tindakan yang serupa di kalangan pelbagai pedagang.

Tafsiran psikologi dan tingkah laku serta keputusan perdagangan yang terhasil daripadanya juga merupakan aspek penting dalam perdagangan pergerakan harga. Pedagang yang berbeza biasanya akan mentafsir pergerakan harga yang sama dalam cara yang berbeza kerana mereka mempunyai peraturan tersendiri dan pemahaman tentang tingkah laku pasaran yang berbeza.

Perdagangan pergerakan harga lebih sesuai untuk perdagangan jangka pendek hingga sederhana berbanding posisi jangka panjang. Ramai pedagang percaya pasaran global mengikut corak yang rawak, dan tiada cara yang sistematik untuk membina strategi perdagangan yang berfungsi tanpa cacat cela pada setiap masa. Pergerakan harga telah mendapat banyak sokongan dalam komuniti perdagangan kerana ia menggabungkan analisis teknikal dengan sejarah harga terkini untuk mengenal pasti peluang perdagangan berdasarkan tafsiran seseorang mengenai keadaan pasaran.

Strategi pergerakan harga yang ditakrifkan sendiri menawarkan fleksibiliti dan terpakai kepada pelbagai kelas aset. Anda boleh menguji kembali dan menggunakannya dengan mana-mana perisian perdagangan, aplikasi, atau portal. Walaupun alat analisis teknikal boleh membantu perdagangan pergerakan harga, keputusan untuk membuka posisi akhirnya bergantung pada pedagang individu. Kesimpulannya, pedagang yang bergantung kepada pergerakan harga mendapat manfaat daripada fleksibiliti yang lebih besar kerana mereka tidak terikat kepada satu set peraturan yang tetap.

Ditulis oleh R. Perry | Diterjemahkan oleh Shakirah Manijal